Persiapan pendatang baru Liga Super 2018, Kuala Lumpur FA kini sudah memasuki fasa akhir selepas 24 pemain telah menandatangani kontrak untuk bersama pasukan warga kota itu bagi mengharungi cabaran Liga Super musim depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan mengesahkan perkara itu selepas bertemu semua pemainnya.
Menurutnya, hanya ada satu slot pemain yang masih kosong dan kemungkinan bakal diisi oleh pemain import kuota Asia Tenggara dari Indonesia tetapi perbincangan masih dijalankan antara kedua-dua belah pihak.
“Buat masa ini, pasukan kami sudah hampir lengkap selepas selesainya proses menandatangani 24 pemain. Hanya ada satu kekosongan yang tinggal iaitu slot import dari Asia Tenggara.
“Apa yang boleh saya beritahu adalah dia merupakan pemain kebangsaan Indonesia dan beraksi di posisi pertahanan. Secara keseluruhan, saya gembira dengan barisan pemain pasukan kami musim ini,” katanya kepada wartawan di Menara Seri Wilayah, Putrajaya.
Menurut sumber daripada laman bolasepak Indonesia, pemain dari Indonesia yang dimaksudkan ialah Achmad Jufriyanto yang beraksi untuk pasukan Persib Bandung dalam saingan Liga Indonesia musim ini. Jufriyanto dikhabarkan tidak dapat perlepasan daripada Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk berhijrah ke Liga Malaysia.
“Pemain itu sudah bersetuju menyertai Kuala Lumpur, tapi dia tidak mendapat pelepasan daripada PSSI. Tapi, dia kini berusaha untuk memastikan dia boleh bersama kami.
“Memang kami sudah lama cuba mendapatkan pemain dari Indonesia kerana permainan dan budaya mereka lebih kurang dengan liga kita.
“Malah, rakyat Indonesia juga ramai yang berada di Lembah Klang. Jadi ia pasti dapat memberi hiburan tambahan kepada mereka dan menarik lebih ramai penyokong,” katanya kepada berita harian.
SENARAI RASMI JURULATIH & BARISAN PEMAIN PASUKAN 🦅 KUALA LUMPUR #MSL2018 !!!
📷 : Kuala Lumpur The City Boys#SemangatKLSemangat#SampaiMatiKualaLumpur #FightForKLCity#TheHawks pic.twitter.com/LoZN4Wuy2y
— Supporter of Kuala Lumpur United'🔴⚪ (@FCKL1974) December 15, 2017
Antara muka baharu tempatan yang bakal menguatkan skuad kendalian Fabio Silva itu ialah Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak dari Perak, Indra Putra Mahayuddin (Kelantan), Mohd. Firdaus Fauzi (Terengganu) dan Mohd Saiful Nizam Miswan dari Pahang.
Tonggak import yang bakal mengemudi jentera skuad juara Liga Premier itu musim depan ialah Junior de Souza, Paulo Josue, Boburjon Akbarov dan penyerang sensasi, Guilherme de Paula yang dikekalkan.
Adnan juga berharap dapat menyaksikan para pemain Kuala Lumpur beraksi di Stadium KLFA, Cheras tetapi segalanya perlu mendapat kelulusan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlebih dahulu.
“Kami sedang berusaha menjadikan Stadium KLFA, Cheras sebagai gelanggang rasmi musim depan. Justeru, kami sedang melakukan yang terbaik untuk memperbaiki permukaan padang dan harap ia dapat diluluskan tidak lama lagi.
“Sekiranya masih gagal, mungkin kami terpaksa menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Selayang seperti musim lalu,” katanya.