Beberapa pasukan di Liga M3 sedia menyahut cabaran penganjur liga, Amateur Football League (AFL), agar mereka mampu mempersiapkan diri pada tahun ini ke arah semi pro menjelang musim 2021.
Bagi mereka, ini satu pengiktirafan AFL kepada pasukan amatur di seluruh negara selain merasakan sudah sampai masanya usaha menaiktaraf pengurusan pasukan ke arah lebih profesional.
Antaranya pengurus Kuala Terengganu Rovers (KT Rovers), Muhd. Rafi Kori, yang melihat usaha AFL sebagai satu kebaikan jangka masa panjang dalam menaikkan mutu bola sepak negara di peringkat akar umbi secara lebih menyeluruh.
“Ini adalah satu inisiatif yang bagus daripada AFL dan semua pasukan di seluruh Malaysia untuk berfikir serta bertindak ke arah lebih profesional pada masa depan.
“ Paling penting kita dapat naik taraf cara kita dalam perhubungan dengan pemain serta pengurusan yang dapat membantu kualiti bola sepak kita secara keseluruhan.
“Melalui pengalaman yang ada pada musim lalu, kami harap perubahan ini akan membawa KT Rovers ke satu aras lebih tinggi ketika kami mengejar sasaran untuk berada dalam kelompok lapan terbaik Liga M3, ” katanya.
Pada taklimat yang dijalankan oleh AFL pada 18 Januari lalu, Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi, mengumumkan penstrukturan semula liga amatur secara keseluruhan termasuk Liga M3.
Langkah itu diambil sebagai langkah persediaan menyiapkan pasukan-pasukan amatur kepada semi-pro bermula pada musim 2021 sementara pasukan bertaraf amatur akan diletakkan dalam saingan Liga M4 manakala liga-liga komuniti yang kini bernaung di bawah AFL akan diselaraskan menjadi Liga M5.
Dalam pada itu, Setiausaha Harini FC, T. Puspanath, teruja dengan pendekatan AFL membuka ruang kepada pasukan M3 untuk bersaing dalam Challenge Cup yang dianggap sebagai langkah tepat.
“Pengiktirafan yang cukup besar maknanya kepada pasukan M3 malah ini jadi satu motivasi tambahan kepada kami memburu slot terbaik selain cuba mengejar kejuaraan.
“Sudah tentu kami mahu bersaing bagi mendapatkan slot ini agar dapat memburu sekurang-kurangnya dalam kelompok empat terbaik agar boleh berada dalam saingan Challenge Cup, “ katanya.
Pengurus Melawati FC, Mohd. Firdaus Kamar Ariff, pula bersetuju langkah pengurangan perlawanan Liga M3 pada musim ini yang dilihat mampu membantu pasukan mengurangkan perbelanjaan.
Musim lalu, setiap pasukan perlu melalui 26 perlawanan namun untuk musim baharu, hanya 18 perlawanan secara minimum akan dilalui tiap pasukan selepas saingan melibatkan 20 pasukan akan dipecahkan kepada dua kumpulan yang melibatkan 10 sahaja pasukan.
“Keputusan ini sangat baik kerana semua sedia maklum pasukan amatur macam kami tidak kukuh daripada segi kewangan seperti pasukan profesional.
“Jadi kami dapat kurangkan kos perbelanjaan dan dapat gunakan sumber kewangan ini untuk pembangunan pemain serta menaikkan lagi kualiti pasukan, “