Isu pembayaran gaji semakin tenat di kancah saingan bola sepak tempatan. Jika pasukan senior yang beraksi di pertandingan utama (Liga Malaysia) mengalami masalah sama, apatah lagi pasukan belia yang turut berada di bawah seliaan pengurusan persatuan yang sama.
Lebih menyedihkan, kebajikan pasukan belia yang dicanang sebagai bakat pelapis pasukan utama satu hari nanti, seolah-olah tidak diambil peduli
“Nok makey nasik pong korek tabung cari skeleng ni bey,” itu luahan salah seorang pemain belia Kelantan FA yang menghubungi kami pada hari ini.
⚪️?Meet & Greet?⚪️
—-
Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Hajah Bibi Ramjani Ilias Khan mengadakan pertemuan…
Posted by Kelantan FA on Thursday, January 17, 2019
Menurut beliau pasukan Piala Belia Kelantan mengalami tunggakan gaji sehingga lima bulan.
“Kami hanya menerima gaji pada Januari dan Februari. Mulai Mac pemain-pemain mulai berhadapan masalah pembayaran gaji,” ujar pemain tersebut yang enggan namanya didedahkan.
Masalah pembayaran gaji tersebut dipercayai bermula selepas Syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menjalinkan kerjasama.
Malangnya, kerjasama tersebut hanya kekal sebulan selepas KRW menarik diri daripada bekerjasama dengan KAFA.
Kelantan Red Warriors Sdn Bhd (KRW) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) capai kata sepakat selesaikan pertindihan tugas pengurusan pasukan – Ketua Pegawai Eksekutif KRW, Ahmad Fazli Mohammad pic.twitter.com/CVPnZLULG5
— BERNAMA Radio (@bernamaradio) March 7, 2019
“Pada ketika itu, pengurusan masih lagi di bawah Puan Hajah Bibi Ramjani Ilyas Khan. Beliau simpati dengan nasib kami. Presiden [Bibi] adalah time tu turun padang melihat keadaan kami,” ujar pemain ini kepada kami.
“Namun demikian, Presiden kata beliau tidak boleh membayar gaji kami, atau keluar satu sen pun dari duit poket beliau secara peribadi kerana ia melanggar syarat kontrak bersama KRW.”
Pada Jun tahun ini, Bibi Ramjani mengumumkan peletakan jawatan. Tampuk kepimpinan baharu kemudiannya mengambil alih pengurusan KAFA.
Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah presiden baharu KAFA pic.twitter.com/2G6EXk9Pqi
— BERNAMA Radio (@bernamaradio) July 6, 2019
Wan Abdul Rahim Wan Abdullah diumumkan sebagai Presiden baharu persatuan tersebut melalui satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 6 Julai.
“Selepas pengurusan baharu diambil alih, masalah kami tetap tidak berubah. Gaji kami tetap tidak dibayar, walaupun jumlah keseluruhan tidak sampai RM100,000 untuk pasukan belia ini,” keluh beliau lagi.
“Kami ada bertanya, dan pengurusan [baharu] berkata mereka akan langsaikan gaji tertunggak itu. Janji tinggal janji. Kami tetap tidak terima gaji, namun masih tetap turun beraksi di suku akhir pertama di Kota Bharu,” tambah beliau.
Bagaimanapun selepas diancam untuk enggan beraksi di suku akhir kedua di Terengganu pada 28 Ogos yang lalu, pemain telah dibayar gaji sebulan. Itupun hanya kumpulan pemain yang bertandang ke Terengganu.
Selepas itu difahamkan pemain-pemain langsung tidak menerima sebarang bayaran. Pemain-pemain yang tidak dibawa ke Terengganu hanya dibayar separuh bulan gaji.
“Nok makey nasik pong korek tabung cari skeleng ni bey,” ujar beliau kepada kami di dalam dialek Kelantan.
“Kami pergi bermain di Terengganu pun sebab pengurusan kata KAFA akan didenda RM200,000 jika pemain melakukan boikot. Daripada didenda, baik bayar gaji kami.
“Malangnya, sehingga ke hari ini kami tidak menerima apa-apa bayaran. Malah kami diberikan amaran tindakan akan diambil jika melakukan pendedahan di media sosial.
“Tapi kalau kami diam, mereka [KAFA] juga diam.”
Semuanya BOLA juga difahamkan kontrak pemain pasukan Piala Belia Kelantan akan dibayar sehingga sejauh mana mereka mampu mara di pertandingan tersebut.
Ini bermakna selepas suku akhir pada Ogos lalu, pemain pasukan Piala Belia Kelantan masih belum menerima gaji sekitar empat atau pun lima bulan.