Pengerusi Amateur Football League (MFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi optimis bahawa penglibatan 40 pasukan berstatus amatur dalam saingan Piala FA Malaysia 2020 akan memberikan impak besar kepada wakil Liga M3 dan Liga M4.
Apa yang pasti, beliau teruja untuk menyaksikan kejutan berlaku dalam saingan tersebut di mana beliau percaya kelab-kelab amatur memiliki kemampuan untuk melakukan sesuatu pada tahun ini.
“Untuk pertandingan Piala FA Malaysia 2020, saya berharap pasukan yang mungkin dianggap kerdil dapat melakukan kejutan kerana ia adalah kesempatan terbaik buat pasukan amatur kita bersaing dengan pasukan lebih baik.”
“Mereka juga memiliki kesempatan untuk melakarkan kejutan supaya pasukan-pasukan kita dapat menunjukkan prestasi dan saya berharap pasukan amatur kita menggunakan peluang ini untuk memperbaiki lagi permainan kita,” ujar Datuk Wira Yusoff selepas undian Kelayakan Piala FA petang semalam.
Dalam pada itu, Datuk Wira Yusoff menggesa pasukan-pasukan Liga M3 dan Liga M4 menggunakan kesempatan bermain dalam kempen Piala FA Malaysia 2020 sebagai persiapan terbaik menjelang perubahan struktur liga ke arah semi pro.
Jelas Datuk Wira Yusoff, AFL akan berusaha keras untuk memastikan perkembangan Liga M3 dan Liga M4 berada dalam landasan terbaik selain memastikan kualiti pasukan berada di tahap sepatutnya.
“Saya juga melihat ada beberapa ciri yang positif pada tahun ini apabila banyak pasukan yang ingin terlibat dalam pertandingan Piala FA Malaysia 2020 dan saya berharap minat mereka ini dapat diteruskan sempena pengstrukturan Liga M3 musim 2021 bagi melengkapkan 12 pasukan dalam Liga M3 dan 12 pasukan dalam Liga M4.”
“Inilah tujuan AFL di mana kita bukan sahaja mahu merancakkan tetapi menambahbaik kualiti pertandingan dan pasukan di mana AFL akan menilai pasukan yang benar-benar layak untuk bermain di Liga M3 pada tahun hadapan kerana Liga M3 akan berubah wajah menjadi liga semi pro,” katanya.
Kredit featured image: Wandiyazid M Rosly