Majoriti dari kita semuanya sukakan bola sepak, bukan?
Ramai yang gemarkan bola sepak dan pernah mengimpikan untuk menjadi bintang bola sepak satu hari nanti.
Sungguhpun begitu, ada juga dari kalangan kita semua yang berimpikan untuk menjadi jurulatih bola sepak.
Baru-baru ini, kelab Tottenham Hotspur menerusi yayasan mereka iaitu Spurs Foundation telah berjaya merealisasikan impian pengurus kelab tersebut iaitu Mauricio Pochettino untuk mewujudkan satu program kejurulatihan.
Program yang dipanggil Passion 4 Coaching itu bakal memberi peluang kepada para remaja pada usia 16 hingga 24 tahun untuk menceburkan diri bidang kejurulatihan pada usia yang muda.
Graduan dari program ini bakal diberikan peluang untuk menjadi jurulatih di kelab komuniti di bawah Tottenham Hotspur dan menjadi jurulatih kepada para pemain muda di setiap tahap.
Mereka juga boleh menjadi jurulatih untuk di kampung halaman mereka jika mereka mahu dengan menggunakan silibus yang digunakan di akademi Tottenham Hotspur.
Program yang dilakukan oleh Pochettino dan juga Spurs Foundation ini adalah satu program yang diimpikan oleh pengurus kelab tersebut.
Apa yang menariknya mengenai program Passion 4 Coaching ini adalah dana untuk melangsungkan program ini adalah menerusi hasil jualan buku tulisan Pochettino sendiri iaitu Brave New World yang mengisahkan kehidupan beliau pada musim pertama bersama kelab London itu.
Program ini bakal menyaksikan Pochettino akan berkongsi mengenai teknik dan cara beliau menjadi jurulatih.
“Bidang kejurulatihan adalah salah satu bidang yang saya minat sejak zaman saya bermain telah tamat.”
“Saya tahu ramai orang-orang tempatan di sini juga mahu menjadi jurulatih, tetapi tidak pernah diberikan peluang.”
“Cukup penting untuk saya dapat berkerjasama dengan pihak kelab untuk program ini. Sekurang-kurangnya kita dapat cuba ubah nasib kehidupan peserta yang menyertai program ini.”
Satu inisiatif program yang cukup berguna dalam melahirkan lebih ramai jurulatih dalam kalangan anak muda di England.
Barangkali di masa akan datang kita boleh saksikan pasukan Liga Malaysia mula melancarkan program sebegini. Siapa tahu?