Kelab Bundesliga, Bayern Munich kini dikatakan akan mendapatkan seorang pemain Korea Selatan yang dijangka akan menjadi bintang besar seterusnya dari negara tersebut.
Lee Hyun-ju, yang sebelum ini dipinjam oleh Bayern dari kelab utama Korea Selatan iaitu Pohang Steelers dikatakan bakal melengkapkan perpindahan tetap ke gergasi Jerman itu.
Menurut laporan di Korea Selatan, Lee dikatakan sudah pun melengkapkan perpindahan tersebut dengan nilai yang dibayar Bayern kepada Pohang adalah sekitar €200 ribu.
Dengan perpindahan itu akan menjadikan Lee pemain Bayern Munich II terlebih dahulu dan jika beliau berjaya mempamerkan aksi yang baik sudah pastinya potensi untuk beraksi bersama-sama skuad utama adalah cerah.
Siapa Lee Hyun-ju ini?
Lee Hyun-ju dilihat bakal menjadi eksport terbesar Korea Selatan kepada bola sepak dunia yang seterusnya selepas Son Heung-min.
Ianya dijangka akan menjadi eksport Korea Selatan terbesar di bahagian tengah selepas legenda Manchester United iaitu Park Ji-sung.
Berketinggian 1.69 meter, Lee boleh beraksi di bahagian tengah serta tengah menyerang.
Musim lalu, Lee berjaya mendapatkan tujuh penampilan dengan tiga gol serta satu bantuan gol berjaya dihasilkannya bersama-sama Bayern Munich II.
Ini menjadikan impaknya dalam mengubah keputusan perlawanan adalah tinggi apabila mampu menjaringkan gol serta mencipta peluang untuk rakan sepasukan menjaringkan gol.
Kehadiran Lee ini ke Bayern secara tetap pastinya akan menjadi prospek menarik untuk disaksikan dalam tahun-tahun mendatang.