“Yaman adalah pasukan yang kuat, jadi kami jangkakan ia perlawanan yang sukar. Kami telah lakukan analisis dan jelas mereka adalah pasukan yang kuat.
“Tetapi semangat melawan pasukan saya lebih hebat dan kami yakin boleh menang,” laungan penuh keyakinan ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo.
Berdepan Yaman yang juga memburu tiga mata daripada perlawanan terakhir Kumpulan D, Piala Asia 2019, Park mahukan para pemainnya melakukan apa sahaja untuk menang.
Ini kerana, mereka masih berpeluang untuk layak ke pusingan 16 terbaik selaku salah satu daripada empat pasukan berkedudukan ketiga terbaik peringkat kumpulan.
“Situasi Yaman juga seperti kami, mereka mahukan tiga mata tersebut. Jadi, esok (hari ini), kami akan berikan segalanya untuk mendapatkan tiga mata.
“Pasukan saya tahu apa yang kami mahukan dan kami sasarkan untuk menang,” ujar Park yang dipetik berkata kepada portal sukan, Fox Sports Asia.
Mengenai senarai pemain, menurut Park, tiada perubahan besar akan dilakukannya dan dia akan menyenaraikan pemain menyerang sebagaimana ketika menentang Iran.
“Saya pilih pemain yang bersedia dari segi mental dan fizikal serta pemain yang sudah biasa beraksi menentang lawan tersebut,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan tidak pernah bertembung sejak Yaman mula dibentuk pada 1990 dengan kali terakhir perlawanan mereka adalah pada 1966 di atas nama Yaman Utara.
Sementara itu, pertahanan Naga Emas, Bui Tien Dung menyatakan kepada Fox Sports Asia yang mereka sentiasa berwaspada dengan kemampuan pasukan lawan.
“Kami telah melihat rakaman perlawanan mereka.
“Jurulatih menunjukkan kekuatan dan kelemahan mereka dan mengarahkan kami untuk ‘mengurangkannya’ dan mengeksploitasi kelemahan mereka,” jelasnya.
Selepas dua perlawanan, Yaman masih gagal menjaringkan sebarang gol dan telah melepaskan lapan gol, berbeza dengan Vietnam yang berjaya meledak dua gol.
Mereka berjaya memperolehi dua gol itu ketika tewas tipis kepada juara edisi 2007, Iraq dalam perlawanan pembukaan pada 8 Januari yang lalu.
“Kami penat selepas menentang dua pasukan yang kuat. Kami dalam keadaan yang baik ketika ini dan yakin untuk menang walaupun kita tahu tidak mudah menentang Yaman.
“Saya rasakan ianya 50-50,” ujar Tien Dung mengenai peluang Vietnam untuk memenangi perlawanan hidup mati mereka itu.
Vietnam masih berpeluang untuk mengiringi Thailand layak ke pusingan seterusnya, bergantung kepada keputusan menentang Yaman pada malam ini.