Memasuki perlawanan terakhir beliau bersama skuad kebangsaan Vietnam, jurulatih Park Hang-seo tidak ada perkara lain yang dimahukannya selain daripada menghadiahkan kejuaraan Piala AFF 2022 buat negara itu.
Bakal megendalikan perlawanan terakhirnya di Bangkok, Park walaupun sedar perlawanan menentang Thailand adalah sukar tetapi dirinya tetap yakin Vietnam akan muncul juara.
Hal ini kerana, Park berasakan yang pasukannya sudah lali dengan tekanan yang diberikan oleh penyokong Thailand serta tahu bagaimana hendak memenangi aksi di sana.
Jadi, walaupun Thailand memperoleh kelebihan dua gol di tempat lawan, ianya boleh dipadamkan dengan mudah oleh anak-anak buah Park.
“Ada yang berfikir keputusan perlawanan pertama memberikan kekurangan buat kami tetapi kami yakin dan tahu kami perlu menang.
“Sebenarnya kami sudah biasa bermain perlawanan di Thailand dan menewaskan mereka,” kata Park.
Park membayangkan yang perlawanan ini akan menjadi sengit kerana kedua-dua pasukan tidaklah mempunyai kelebihan yang jelas menjelang aksi kedua.
“Saya rasakan Thailand tidak anggap diri mereka sebagai pasukan pilihan dan saya pasti perlawanan ini boleh dinikmati kedua-dua pasukan,” ujar Park lagi.
Vietnam dan Thailand terikat 2-2 dalam aksi pertama di Hanoi dengan kelebihan memihak Gajah Perang menjelang aksi kedua.
Vietnam pastinya mahu menewaskan Thailand untuk menafikan peluang negara itu untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada Piala AFF 2020 di Singapura.