Park Hang-seo: “Bukanlah Tak Suka Quang Hai Ke Luar Negara, Tapi…”

Park Hang-seo Nguyen Quang Hai 2019 Vietnam

Park Hang-seo dilihat sudah memberikan komen tentang khabar penghijrahan bintang sensasinya, Nguyen Quang Hai yang dikatakan bakal berkelana ke luar negara apabila memilih untuk tidak melanjutkan kontraknya.

Khabar Quang Hai tidak menyambung kontraknya bersama Hanoi FC yang bakal berakhir pada 12 April depan menjadi sensasi sejak beberapa minggu lalu. Ia merupakan berita utama slot bola sepak Vietnam saat ini.

Ramai yang tertanya-tanya, mengapa Quang Hai tidak mahu kekal? Dikatakan beliau mahu berkelana ke luar negara dengan beberapa pasukan gergasi Asia dan Eropah sedang cuba untuk mendapatkan khidmatnya.

Sebelum ini, sejurus berakhirnya saingan Piala AFF 2020, bintang sensasi Vietnam itu dikatakan sedang cuba dilamar oleh kelab dari Bundesliga yang beraksi di UEFA Champions League – pendedahan The Thao 24/7.

Namun, segalanya tampak tidak menjadi kenyataan disebabkan dikatakan Quang Hai dan Hanoi FC tidak berminat untuk meneruskan sebarang perbincangan. Namun, tiba-tiba landskap khabar perpindahan ini berubah. Quang Hai rupa-rupanya ‘berminat’ dan mungkin Hanoi FC yang cuba menghalang pemain itu.

Perbincangan terakhir tentang kontraknya bersama Hanoi FC pula berakhir dengan kegagalan baru-baru ini.

Apa kata pengendali Vietnam, Park Hang-seo?

“Ia [kontrak Quang Hai] bukan urusan saya,” ujar Park Hang-seo mengenainya. Beliau tidak pernah menghalang anak buahnya untuk ‘terbang’ mencari pengalaman di luar negara, namun sedikit ‘berat hati’ pada dasarnya.

“Itu tugas VFF [Persatuan Bolasepak Vietnam], bukan saya. Mereka perlu bertindak agar ia tidak mengganggu skuad kebangsaan, jika Quang Hai memilih untuk ke luar negara. Keputusan Quang Hai akan memberi kesan kepada perancangan skuad kebangsaan. Nyata yang tiada pemain sebagusnya di posisi tersebut [playmaker].”

Jelas, keutamaannya adalah keadaan skuad kebangsaan yang dilihat bakal terjejas tanpa pemain tersebut.

Sebelum ini, dua pemain Vietnam yang pernah beraksi di Eropah boleh dikatakan gagal – Doan Van Hau dan Nguyen Cong Phuong. Pasukan Vietnam ini dikatakan generasi emas bola sepak mereka apabila berjaya mara ke suku akhir Piala Asia 2019 selain turut melangkah ke pusingan terakhir kelayakan Piala Dunia 2022.

Mengapa Park Hang-seo resah dengan status pemain itu?

Sejak ketibaan Park Hang-seo di Vietnam pada 2017, kekuatan The Golden Dragon dibina di sekeliling pemain tersebut. Jika anak emasnya itu tinggalkan bumi Vietnam, faktor masa akan mengganggunya untuk bersama skuad kebangsaan. Tidak seperti beraksi di V-League, beliau akan sedikit sukar untuk pulang, jika dipanggil.

Dengan situasi Covid-19 saat ini serta peraturan-peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), pemain berusia 25 tahun itu dijangka akan berdepan sedikit masalah pengurusan masa untuk kembali memperkuatkan pasukan. Dan, jika beliau ke saingan liga Eropah, kita pasti tidak akan dapat melihatnya lagi beraksi di Piala AFF.

Menurut peraturan FIFA, pemain-pemain hanya boleh dilepaskan ke skuad kebangsaan menjelang empat hari sebelum perlawanan antarabangsa – lima hari jika pasukan dan negara pemain itu berlainan benua. Jika hanya aksi persahabatan, pasukan boleh lepas pemain dua hari sebelum aksi. Tiada lagi kem latihan panjang buatnya.

Ini adalah keresahan terbesar Park Hang-seo tentang keberadaan Quang Hai, jika berkelana ke luar negara.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN