Paris Saint-Germain (PSG) menampilkan corak permainan kelas pertama semalam dalam aksi Ligue 1 menentang Guingamp di Parc Des Princes semalam.
Menurut laman BBC Sport, PSG nyata menzahirkan rasa dendam mereka terhadap Guingamp dengan menjaringkan gol yang banyak dalam kemenangan 9-0 mereka di laman sendiri.
6 gol daripadanya terhasil menerusi hatrik yang disumbangkan oleh Kylian Mbappe dan juga Edinson Cavani.
Selain daripada itu, 3 lagi gol disumbangkan oleh 2 jaringan Neymar dan 1 dari Thomas Meunier menyertai senarai penjaring pada babak akhir permainan.
Kemenangan ini dikatakan sebagai dendam yang sudah terbalas oleh PSG terhadap Guingamp selepas kelab itu menewaskan juara Perancis dalam saingan Coupe de Ligue tempoh hari.
Kemenangan 9-0 ini dalam masa yang sama telah mengatasi rekod kejayaan 8-0 menewaskan Dijon pada tahun lalu.
Tangis dalam tawa
Walaupun memenangi perlawanan dengan cukup hebat, namun begitu ianya tidaklah membuatkan pengurus PSG iaitu Thomas Tuchel seperti di awang-awangan.
Pengurus tersebut jelas mempunyai emosi yang bercampur-baur selepas perlawanan itu berakhir.
“Saya jelas gembira dengan pasukan atas permainan yang mereka tunjukkan. Mereka bermain dengan semangat yang tinggi dan juga kualiti yang cemerlang.”
“Kami banyak peluang dan bermain dengan struktur yang baik. Kami kawal serangan balas dengan kemas dan saya gembira dengan itu.”
Namun Tuchel sedih dengan kecederaan yang dihadapi oleh Marco Verratti ketika perlawanan.
Ianya menyebabkan PSG tidak banyak pilihan di bahagian tengah terutamanya menjelang aksi UEFA Champions League menentang Manchester United.
“Saya sedih dengan Marco Verratti, beliau dijangka akan berehat selama beberapa minggu.”