Pemain tengah Kuala Lumpur City (KL City), Paulo Josue mengakui yang beliau terharu apabila namanya dicalonkan sebagai Pemain Import Terbaik, Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK 2022).
Dicalonkan bersama-sama duo pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Bergson da Silva dan Fernando Forestieri, Josue terharu namanya semakin dihargai dalam arena bola sepak tempatan selepas lama berbakti bersama-sama Warga Kota.
Walaupun tercalon, namun Josue tidak mengharapkan apa-apa hasil yang tinggi melangit kerana apabila dicalonkan dengan dua bintang ternama, pastinya sukar untuk menjadi pemenang.
“Sama-samalah kita nantikan keputusannya tetapi apa jua keputusan, saya mampu menerima dengan hati terbuka kerana dua calon ternyata pemain yang sangat luar biasa.
“Sekiranya saya yang menang, sudah tentu saya tidak boleh gambarkan bagaimana gembiranya nanti tetapi jika bukan rezeki saya, anugerah ini akan dimenangi oleh pemain yang layak,” kata Josue menerusi laman MFL.
Musim ini, jika diikutkan bukanlah yang terbaik buat KL City apabila mereka gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia sambil tersingkir awal dalam Piala FA.
Mereka juga menamatkan saingan Liga Super ditangga keenam selepas hanya mengumpul 29 mata sahaja.
“Saya sangat gembira dengan pencalonan ini, tambah-tambah bersama dua pemain yang sangat hebat iaitu Bergson dan Forestieri.
“Sesiapa yang memahami bola sepak, sudah tahu betapa bagusnya mereka berdua dan rasa satu kejayaan apabila turut bersaing bersama mereka,” ujar Josue lagi.
Josue menjadi satu-satunya wakil KL City yang tercalon dalam ABK 2022 kali ini.