Legenda bola sepak Belanda, Edwin van der Sar kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas mengalami pendarahan di bahagian otak sebelum ini.
Bekas penjaga gol Manchester United itu sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan serius selepas mengalami pendarahan di bahagian otak dan terpaksa ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Sebelum ini, Van Der Sar turut dilaporkan berada dalam keadaan bahaya dengan nyawa beliau di hujung tanduk.
Namun begitu, pantan maut sebelum ajal, keadaan beliau kini semakin baik dan beliau kini berada dalam keadaan elok untuk kembali pulih.
Menurut laporan Euro Sport, Van Der Sar kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan juga nyawanya berada dalam keadaan yang lebih selamat.
Namun begitu, Van Der Sar masih lagi ditempatkan di ICU untuk pemantauan rapi sebelum boleh diletakkan di wad biasa.
“Edwin masih lagi berada di unit rawatan rapi tetapi sudah stabil.
“Kami perlu menunggu dengan sabar untuk mengetahui perkembangan keadaannya. Beliau tidak lagi berada dalam keadaan yang mengancam nyawanya,” kata isteri Van Der Sar, Annemarie van Kesteren.
Situasi ini jelas positif dan amat dialu-alukan kehadirannya kerana begitu ramai mengharapkan kesembuhan terhadap bekas penjaga gol United dan Belanda itu.
Semoga cepat sembuh, Edwin van der Sar.