Pandangan: Merungkai Persoalan TRW Miskin Ataupun Jatuh Miskin?

Tulisan ini hanya sekadar pandangan ikhlas daripada penulis bebas Hairi Mohd. Beliau mahu pembaca tahu yang beliau menulis dengan tiada tujuan lain dan maksud tersirat.

Kira kira setengah dekad yang lalu

Pada pendapat saya, sebenarnya, masalah kewangan pasukan TRW kerana keborosan mereka sejak beberapa musim lepas.

Pada tahun 2012 hingga 2013, berlaku terlalu beberapa proses pengambilan dan pertukaran import di dalam kem pasukan Kelantan, dan masalah ini menjadi bertambah mudarat pada musim-musim seterusnya.

Namun, impak masalah ‘mismanage’ pasukan Kelantan bermula pada penghujung tahun 2013 apabila mereka gagal memenangi Piala Malaysia dan Liga super.

Mereka kehilangan hadiah kejuaraan yang merupakan salah satu sumber pendapatan kelab selain wang tajaan dan kutipan tiket.

Pada tahun 2013 juga, berlaku pemilihan import untuk mengisi kuota pemain import Liga Super Malaysia 2013. Pemilihan yang saya anggap dilakukan dengan kurang teliti.

Pada pendapat saya, Kegagalan Kelantan untuk menyaingi kedudukan ‘top 3’ kerana mereka menggunakan penyerang yang tidak produktif pada empat bulan pertama.

Pada tahun itu juga, Kelantan kehilangan Norshahrul Idlan Talaha, Azwan Roya dan Mohammed Ghaddar, yang merupakan penjaring gol prolifik pasukan mereka.

Liga Super 2013

Mengapakah Kelantan dan jurulatihnya Bojan Hodak memilih Keita Mandjou berbanding dengan Dimitri Petratos untuk didaftarkan dalam Liga Super Malaysia 2013?

Keita Mandjou walaupun pernah bermain untuk Kelantan bagi Piala AFC 2012 dan mempunyai rekod yang baik bersama Perak.

Tetapi pada saat itu beliau sudah agak berusia dan mengapa Dimitri Petratos diketepikan dan kemudian diletakkan dalam slot pemain asing Piala AFC 2013?

Petratos sepatutnya menjadi prospek jangka masa panjang terbaik Kelantan bagi menggantikan Mohammed Ghaddar. Kita lihat dimana Petratos kini?

Pemain muda ini cemerlang di Brisbane Roar, A League dan telah berkelana ke Ulsan Hyundai, K-League iaitu liga utama Korea Selatan.

Kesan daripada tindakan Kelantan memilih Keita Mandjou untuk bermain dalam liga Super 2013 dan mengetepikan Petratos mengakibatkan kelantan gagal mendapat mata maksimum dalam banyak perlawanan liga super.

Jika dikatakan pasukan seperti JDT membunuh kelantan kerana mengambil Mat Yo dan Azwan Roya, tetapi cuba kita beralih arah sejenak kepada pasukan selangor 2014?

Mereka kehilangan banyak pemain kepada JDT dan terpaksa mengubah strategi dengan merekrut banyak pemain muda dan mengambil pemain baharu.

Tetapi mereka tetap mampu bersaing dan menjadi ‘top2’ di dalam saingan Liga Super Malaysia 2014.

Jawapannya mudah, jawapannya terletak pada perancangan pihak pengurusan dan keupayaan jurulatih menggunakan sumber yang ada lalu membentuk strategi dan formasi terbaik.

Kancah Piala AFC 2013

Kelantan pada pada tahun 2012 dan tahun 2013 telah mengambil keputusan untuk menggunakan lima bintang import bagi saingan liga Super dan Piala AFC.

Pada tahun 2012, lima pemain import mereka ialah Ghaddar, Antwi, Obinna, Okinne dan Keita Mandjou.

Manakala pada musim 2013 mereka menyenaraikan lima pemain import iaitu Keita Mandjou,Obinna Nwaneri, Dimitri Petratos, Lek Kcira dan Dickson Nwakaeme.

Pada tahun 2013, Keita Mandjou dan Obinna didaftarkan untuk saingan liga Super manakala Obinna Nwaneri, Dickson Nwakaeme, Lek Kcira dan Dimitri Petratos didaftarkan untuk saingan Piala AFC.

Pihak FAM hanya membenarkan 2 orang pemain asing sahaja untuk didaftarkan bagi saingan Liga Super Malaysia, manakala selebihnya digunakan oleh pasukan Kelantan untuk Piala AFC.

Pihak AFC hanya membenarkan setiap pasukan menggunakan empat orang pemain asing untuk bermain dalam kejohanan Piala AFC.

Persoalannya apakah keperluan Kelantan menggaji lima orang pemain asing untuk musim 2012 dan 2013?

Sedangkan mereka boleh menggunakan empat orang pemain asing iaitu dua orang pemain untuk Piala AFC dan dua orang pemain dari skuad liga super?

Di manakah penjimatannya apabila mempuyai lebihan seorang pemain? Tiga orang pemain import yang didaftarkan untuk Piala AFC itu pula hanya akan bermain minimum enam perlawanan Piala AFC sahaja.

Adakah mereka dibayar hanya untuk bermain enam perlawanan iaitu bayaran ‘pay to play’ atau digaji untuk dibayar penuh semusim? Jawapan itu hanya ada pada pihak pengurusan Kelantan.

Isu kegagalan dalam mengurus

Kelantan menggangap pasukan mereka ialah pasukan miskin. Pada pendapat saya kemiskinan mereka berpunca daripada ‘mismanage’ pengurusannya pada musim-musim sebelumnya.

Pengurusan Kelantan pada masa itu tidak berpandangan jauh terhadap kawalan kewangan pasukan.

Seperti yang saya katakana seperti di atas, Kelantan telah berbelanja besar untuk lima import yang akan bermain di Piala AFC dan saingan liga super Malaysia sedangkan mereka boleh menggaji empat orang pemain berbanding lima orang.

Tidakkah tambahan seorang pemain itu merupakan pembaziran? Oleh itu, dari situ kita dapat lihat bahawa bajet pasukan Kelantan tidak diurus dengan baik.

Pasukan Kelantan tidak menjaga kestabilan bajet mereka untuk jangka panjang kerana mengutamakan persaingan dalam kejohanan AFC dan MSL (mungkin akan ada yang kata tourism Malaysia telah menaja Kelantan untuk saingan Piala AFC).

Corak perbelanjaan yang diamalkan oleh kelantan pada waktu itu adalah saling tidak tumpah seperti pada waktu sekarang.

Bezanya ialah pada waktu dahulu, Kelantan banyak mempunyai dana dan dilimpahi bantuan daripada penaja, tapi kini Kelantan dibebani masalah hutang yang banyak dan perlu dibayar.

Tetapi pasukan kelantan tetap memilih gaya pengurusan kewangan yang dahulu, dengan berusaha membawa masuk pemain-pemain baharu pada pertengahan musim iaitu L’Imam Seydi (gambar) dan Abu Bakr bagi menggantikan Ghaddar yang dijual kepada JDT dan Celin.

Seydi gantikan Celin dalam transaksi tanpa kos tinggi?

Kelantan mengatakan bahawa perpindahan Celin dengan pemain baharu tidak akan melibatkan kos tinggi kerana kedua-duanya berada di bawah kendalian agen yang sama.

Bagaimanakah pula soal pampasan kerana kontraknya akan ditamatkan awal? Tahukah anda bahawa jika kontrak pemain ditamatkan awal, pemain berhak menuntut kelab membayar baki gaji sehingga tamat kontrak atas perjanjian bersama atau membuat aduan kepada FIFA.

Masihkah kita ingat akan kes Mohamed Borji yang mengheret Pahang kepada FIFA kerana gagal membayar gajinya setelah khidmatnya dihentikan pada pertengahan musim 2013?

Pihak Kelantan juga mengatakan pengambilan Seydi adalah langkah penjimatan. Di manakah penjimatannya?

Saya tidak fikir bahawa Celin akan berundur daripada kelantan dengan begitu mudah tanpa mempertikaikan nilai kontraknya dan beliau dengan begitu mudah boleh mengheret Kelantan kepada FIFA dan mengadu kepada Fifpro.

Oleh itu, sama ada mahu atau tidak mahu, kemungkinan pihak kelantan tetap terpaksa membayar gaji Celin mengikut kontraknya iaitu hingga tamat kontraknya.

Melainkan terdapat klausa di dalam kontrak Celin yang mengatakan beliau boleh disingkirkan pada bila-bila masa akibat kecederaan atau prestasi tidak menjadi seperti yang dijanjikan.

Tetapi ada ke pemain yang sanggup menandatangani kontrak dengan klausa menjerat diri itu? Prestasi dan kecederaan pemain bukan aspek yang membolehkan pemain dibuang tanpa pampasan sewajarnya.

Kecederaan pula melibatkan isu kebajikan. Selagi pemain dalam kontrak, pasukan tersebut harus menjaga kebajikan mereka.

Apa yang berlaku di Manchester United? Mereka menawarkan Zlatan Ibrahimovic kontrak lanjutan untuk memastikan pemain ini menikmati kebajikan daripada mereka. Namun pemain itu buat masa ini masih belum memikirkan soal itu.

Berbalik kepada isu kos, secara logiknya, jika Kelantan ingin membawa masuk seorang lagi pemain baharu, bermakna Kelantan perlu membayar gaji dua orang pemain sekaligus iaitu Celin dan L’Imam Seydi atau setidak-tidaknya membayar pampasan yang lumayan kepada Celin.

Selain itu, jika pihak Kelantan mendakwa bahawa pasukan mereka ialah pasukan miskin kerana tidak mendapat dana kerajaan dan bantuan diraja, bagaimanakah pula keadaan Selangor pada tahun ini?

Mengikut khabar, Selangor pada musim ini juga diketepikan oleh kerajaan negeri. Selangor juga kekurangan dana dan kehilangan beberapa pemain utama.

Masihkah anda ingat kata-kata Dato Subahan kamal bahawa beliau akan berusaha sedaya upaya mencari dana untuk pasukan Selangor apabila dipilih sebagai Presiden FAS?

Berbeza dengan Kelantan, Selangor mengambil tindakan berani dengan menggunakan pemain muda dan mengambil pemain import yang lebih murah. Kini, strategi mereka membuahkan hasil.

Masalah kewangan Kelantan adalah berpunca daripada tindakan pengurusan pasukan itu sendiri sebelum bermulanya gelombang pembaharuan yang dibawa oleh JDT.

Kelantan gagal menjaga kestabilan jangka masa panjang akaun pasukan mereka sendiri.

Trend pasukan Kelantan yang suka berbelanja besar tanpa mengambil kira kestabilan jangka masa panjang akaun pasukan pada.

Ini juga menyebabkan Kelantan yang pada suatu masa merupakan pasukan kaya yang mampu berbelanja mewah kerana mempunyai dana yang banyak hasil tajaan para penaja dan wang kemenangan kejuaraan sebelum ini.

Kini mereka berubah menjadi pasukan yang berhutang dan dilabel miskin oleh mereka sendiri.

Persoalannya, miskin atau jatuh miskin? Jawapannya ada pada anda sendiri.

Oleh itu, pada pendapat saya, pasukan Kelantan perlu mula berbelanja secara berhemah bagi menyelesaikan masalah hutang-hutang mereka. Wang-wang yang ada perlu digunakan pada tempat yang penting dahulu.

Contohilah pasukan Pahang di bawah PFC yang telah mengendurkan perbelanjaan mereka pada tahun lepas dan menggunakan pemain-pemain muda bagi menampung kehilangan pemain-pemain utama mereka.

Kini, kembalinya mereka di bawah naungan PBNP, mereka bangkit semula.

Jika mereka mengambil langkah yang serupa seperti Pahang dan Selangor, mungkin pasukan Kelantan akan menghadapi kesukaran untuk bersaing dan kehilangan pemain utama pada awalnya.

Namun, tindakan ini perlu diambil demi memastikan kantung akaun kembali sihat dan nama baik Kelantan kembali bersih dan nescaya pasukan Kelantan akan bangkit semula dan kembali berjaya menarik kehadiran penaja.

Saya teringat kisah saya menghadiahkan jersi original Kelantan kepada sahabat di Indonesia semasa berkunjung ke sana pada tahun 2012.

Saya menghadiahkan jersi tersebut kerana beliau amat meminati pasukan Kelantan dan hanya Kelantan sahaja kelab dari Malaysia yang dikenali oleh beliau.

Begitulah hebatnya Kelantan pada beberapa musim lepas. Pasukan Kelantan amat sinonim dengan saingan liga Malaysia kerana mereka telah melahirkan banyak sang Juara dan mempunyai penyokong yang amat banyak.

Kelantan player Norhafiz Zamani Misbah (L), Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (C) and Mamadou M Danso (R) before Super League match at Shah Alam Stadium on 27 January 2017. Photo by Kamarul Akhir / www.asiana.my

Semoga pasukan Kelantan akan kembali bangkit dan bebas daripada sebarang masalah kewangan.

Nota editor: Artikel asal dari Hairi Mohd. Ikuti Facebook beliau untuk mengikuti lebih banyak penulisan kritikal tentang bola sepak Malaysia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN