Kim Pan Gon yang baru sahaja dilantik selaku pengendali skuad negara seharusnya memerlukan bantuan daripada tenaga jurulatih tempatan dalam usaha untuk membentuk skuad yang kukuh bagi menghadapi sebarang perlawanan terutama kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.
Antara halangan besar yang bakal ditempuhi jurulatih dari Korea Selatan itu ialah tempoh masa persediaan skuad yang singkat serta kekurangan pengetahuan beliau mengenai bola sepak Malaysia pastinya merencatkan sedikit dalam usaha Pan Gon mencari formula yang baik buat Harimau Malaya.
Beliau dijangka bakal tiba di Malaysia pada bulan depan serta Liga Malaysia (Liga M) pula akan memulakan saingan pada bulan Mac yang menyaksikan bekas pengendali pasukan negara Hong Kong itu mempunyai masa lebih kurang tiga bulan sahaja sebelum memimpin skuad negara ke kempen kelayakan Asia.
Selaku bekas jurulatih pasukan negara, B. Satiananthan berpendapat pengendali baharu tersebut memerlukan bantuan daripada seorang lagi pembantu jurulatih anak tempatan walaupun Pan Gon mengesahkan akan membawa empat pembantunya termasuk penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol, jurulatih kecergasan, serta juruanalisis tersendiri.
“Bagi memudahkan dia (Pan Gon), dia mesti ada seorang penolong jurulatih tempatan yang berkelayakan. Seorang yang ada sijil tinggi dan ada pengalaman mendalam serta boleh memberi gambaran yang sebetulnya mengenai pemain, budaya, cara permainan dan latar belakang pemain.
“Jika tidak, dia (Pan Gon) perlu ambil masa lebih lama. Dulu masa Karl-Heinz Weigang, dia berjaya pergi ke Olimpik sebab bantuan dari penolong jurulatih tempatan.
“Walaupun dia (Weigang) ada bawa jurulatih kecergasan dari Jerman, tapi banyak bergantung kepada jurulatih tempatan yang mana ramai orang tidak tahu. Datuk Mohamad Bakar juga ada bantu Weigang.
“Saya sudah bekerja dengan tujuh jurulatih import, saya tahu kalau mereka buat andaian sendiri akan ambil masa. Saya fikir FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) pun akan tegaskan benda ini, FAM mungkin ada perancangan untuk letak seorang jurulatih tempatan,” katanya kepada BH Sukan.
Dengan masa yang agak suntuk untuk membuay persiapan ke kempen kelayakan Piala Asia, laluan berliku bakal menanti Pan Gom untuk memastikan skuad negara layak ke pusingan akhir kejohanan tersebut yang berlangsung di China, tahun depan.
Datuk Hamidin Mohd Amin yang merupakan Presiden FAM ketika mengumumkan mengenai perlantikan Pan Gom turut berkata perlantikan jurulatih Harimau Malaya yang baharu ini belum menjanjikan Malaysia akan melayakkan diri ke Piala Asia atau sebagainya.
Satiananthan ketika ditanya sama ada harapan besar untuk Harimau Malaya layak ke Piala Asia tahun depan jelas mengakui perkara tersebut sukar untuk direalisasikan dengan melihat beberapa faktor dan keadaan semasa pasukan negara.
“Itu saya susah nak jawab (harapan ke pusingan akhir Piala Asia), kita jangan harap sangat. Kalau ikut hati, saya mengharapkan kita layak untuk meredakan keadaan dan sebagainya.
“Sukar, cuma kalau dipilih pemain yang sesuai, kemungkinan boleh. Tapi ia terpulang kepada jurulatih yang baharu ini, namun jangan harapkan perubahan yang drastik.
“Apa yang kita kena buat, semua jurulatih tempatan dalam liga memberi kerjasama kepada jurulatih pasukan kebangsaan kalau dia minta data atau ujian kecergasan. Apa yang dia perlu buat adalah berhubung dengan semua jurulatih kelab dan minta pandangan mereka,” katanya.