PALMA FC Tekad Lahirkan Pemain Berbakat Besar

PALMA FC

Andai menyebut tentang pasukan PALMA FC, pastinya ramai dalam kalangan pembaca Semuanya BOLA tidak mengetahui tentang kewujudan kelab amatur yang berpengkalan di Simpang Pulai, Perak ini.

Namun, kelab yang pada mulanya ditubuhkan hanya sebagai medium untuk warga Bandar Sri Botani beriadah dengan bermain bola sepak di waktu petang, PALMA FC kini sedang meniti di bibir para peminat bola sepak amatur di Ipoh khususnya.

Ia berikutan kejayaan PALMA FC melayakkan diri ke saingan Liga Super Persatuan Bolasepak Ipoh (PBI) pada musim hadapan selepas menamatkan aksi Liga Premier 2018/19 di tempat kedua.

Sejarah penubuhan kelab

Hanya dengan perbincangan beberapa orang penduduk setempat yang diketuai oleh Mohd Suhaimi Mohd Abidin (Boy Palma) di bawah rimbunan pokok buah mata kucing, PALMA FC ‘dilahirkan’ pada tahun 2010.

Menurut Mohd Suhaimi, matlamat asal penubuhan kelab ini hanyalah sekadar untuk menghidupkan persekitaran bola sepak di kawasan taman tempat tinggalnya itu.

”Tujuan asal penubuhan PALMA FC ini memang saya tidak pernah memikirkan untuk kami beraksi dalam saingan Liga PBI. Memang niatnya hanya untuk bermain bola pada waktu petang bersama komuniti di sini.”

”Saya tidak sangka sambutannya begitu menggalakkan dan membuatkan saya bersama beberapa orang rakan yang lain terdetik untuk menubuhkan kelab ini.”

”Bermula daripada itu, pasukan kami mula berjinak-jinak dengan perlawanan persahabatan menentang pasukan lain dan menyertai kejohanan di seluruh negeri Perak.”

Menarik untuk diperkatakan, berkuatkuasa pada 5 Mei yang lalu, PALMA FC sudah pun berdaftar secara sah dengan Pesuruhjaya Sukan.

Perjalanan dalam Liga Persatuan Bolasepak Ipoh

Selepas melihat perkembangan baik dalam prestasi pasukan sepanjang dua tahun, Mohd Suhaimi merasakan sudah tiba masanya buat PALMA FC untuk melangkah setapak ke hadapan bagi bersaing dalam kempen Liga PBI.

Semuanya bermula selepas mereka berjaya menjuarai ‘Liga Haram’ Kejohanan Mat Torres yang berlangsung di Padang Kilat, Ipoh.

”Pada kejohanan itu, PALMA FC telah memenangi hadiah wang tunai bernilai RM1000 yang mana sebahagian daripada wang kemenangan itu kami gunakan untuk membayar yuran Liga Divisyen 3 PBI.”

”Walaupun tiada elaun atau gaji yang diberikan serta sumber kewangan cukup terhad, para pemain pada ketika itu memberikan komitmen tinggi walaupun kami tidak mencapai keputusan memberangsangkan pada musim pertama dalam saingan Divisyen 3,” ujar Suhaimi lagi.

PALMA FC kemudiannya semakin menunjukkan peningkatan apabila berjaya melayakkan diri ke Liga Premier 2014 susulan kejayaan mereka menjuarai kempen Divisyen 3 2013.

Selepas beberapa tahun beraksi dalam Liga Premier, musim 2018/19 menjadi kemuncak prestasi buat PALMA FC setelah mereka berjaya menduduki tempat kedua sekaligus melayakkan diri ke saingan Liga Super pada musim hadapan.

Kejayaan itu diserikan lagi dengan keupayaan penyerang muda yang berusia 16 tahun, Muhammad Abid Idham Bin Mohamed Hasni muncul selaku penjaring terbanyak buat PALMA FC dalam kempen tersebut dengan lapan gol.

Muhammad Abid Idham Bin Mohamed Hasni

Tidak manjakan pemain dengan wang ringgit

Suhaimi dalam pada itu tanpa berselindung menegaskan bahawa PALMA FC tidak mengamalkan ‘play for money’ dalam kalangan pemainnya tetapi sebaliknya beliau lebih mementingkan suasana kekeluargaan dan semangat kesukanan agar para pemain dapat selesa dalam menikmati konsep yang diterapkan.

Kebiasaannya, hadiah kemenangan dalam satu-satu pertandingan yang dimenangi akan dinikmati dalam bentuk jamuan makan satu pasukan. Ia bertujuan untuk menerapkan lagi ikatan persahabatan sesama pasukan.

”Kami di PALMA FC tidak meletakkan wang sebagai keutamaan walaupun ia sememangnya keperluan dalam kehidupan kita semua.”

”Kami juga mahu menjadikan kelab ini sebagai pentas yang cukup luas buat para pemain terutamanya bakat-bakat muda untuk membuktikan kualiti yang mereka mampu jelmakan di atas padang.”

”Ia terbukti apabila sudah ada pemain kami yang beraksi di pentas Liga Premier Malaysia, Liga FAM mahupun diserapkan ke jabatan kerajaan susulan aksi menarik ditampilkan ketika beraksi.”

”Saya berikan pujian kepada semua pemain kerana mereka begitu memahami kehendak pasukan dan menunjukkan keinginan yang cukup kuat dalam usaha mengetengahkkan bakat mereka ke peringkat tertinggi”

Sebagai informasi, bekas pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dalam saingan Liga Premier 2017, Muhd Aliff Abu Shaari Al-Hiddri merupakan bakat muda yang dikesan di mana beliau beraksi bersama PALMA FC sejak berusia 15 tahun.

Perancangan ke arah lebih baik

Melihatkan perkembangan pasukan yang semakin menampakkan hasil yang positif, pengurusan tertinggi PALMA FC melihat sudah tiba masanya untuk mereka mengorak langkah lebih proaktif dalam membangun kelab ini.

Dengan saingan Liga Super PBI juga menanti pada tahun hadapan, Suhaimi melihat pelbagai aspek perlu dipertimbangkan dengan lebih teliti supaya gerak kerja keseluruhan pasukan dapat berjalan dengan lebih lancar.

”Saya bersama-sama rakan lain yang tidak pernah penat membantu sejak dari awal penubuhan pasukan seperti Hairul Faizal, Shahrizal Helmi, Khusairi, Zol, Shahrul, Salleh dan Che Lee sentiasa memikirkan langkah yang terbaik buat pasukan.”

”Layak ke Liga Super memang memerlukan perancangan lebih rapi terutamanya dari segi penyediaan pasukan, sesi latihan serta kebajikan pemain yang harus dititikberatkan kerana kita perlu mengerah kudrat di atas padang.”

”Saya percaya dengan kerjasama semua pihak serta kerja keras daripada pengurus pasukan, Mohammad Aliff Johari dan pembantunya, Muhammad Adha Sakri Affandi akan memudahkan lagi urusan PALMA FC,” tambah Suhaimi lagi.

Kredit foto: PALMA FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN