Teka teki terus tercetus kini mengenai status jurulatih baharu buat Harimau Malaya selepas khidmat Pau Marti Vicente dilaporkan tidak akan kekal selepas mengharungi saingan Asean Championship 2024.
Terdahulu, beberapa nama jurulatih terkenal dikatakan bakal menyertai revolusi baharu Harimau Malaya dengan Nafuzi Zain, Esteban Solari serta Benjamin Mora dikaitkan mengisi kekosongan tersebut.
Nafuzi Zain & Benjamin Mora Antara Dikaitkan Bersama Harimau Malaya
Namun, tiada sebarang pengesahan dibuat dengan ia kekal sebagai sebuah omongan atau persepsi dibuat oleh kalangan peminat menerusi laman media sosial sahaja.
Walaupun begitu, tanda tanya terus bermain di fikiran ramai mengenai calon jurulatih baharu Malaysia selepas impak positif telah ditinggalkan oleh Kim Pan-gon sebelum itu.
Harian Metro tampil dengan salah satu pendedahan cukup menarik apabila akhbar itu menyatakan calon jurulatih terbaharu Harimau Malaya berasal dari Australia.
Menerusi sumber dinyatakan, jurulatih itu tidak memiliki nama besar dalam arena bola sepak di Asia, tetapi mempunyai pengalaman cukup luas dalam dunia kejurulatihan di rantau tersebut.
“Mungkin dari Australia. Tapi nak kata jurulatih terkenal tidak, tapi beliau ada pengalaman cukup luas.
“Beliau banyak melatih kelab-kelab di beberapa liga di Asia dan juga pernah membimbing sebuah pasukan kebangsaan,” kata sumber tersebut di Harian Metro.
Dua jurulatih setakat ini dikenal pasti mempunyai ciri-ciri disebutkan iaitu Peter Cklamovski serta Arthur Papas yang memiliki reputasi cukup baik selaku jurulatih bola sepak profesional.
Selain berasal dari Australia, pengalaman luas juga menjadi pertaruhan kedua jurulatih tersebut apabila masing-masing skuad remaja kebangsaan tersebut.
Mengulas tentang Cklamovski, pengendali ini pernah membimbing FC Tokyo dalam saingan J1 di Jepun dan membantu pasukan tersebut menamatkan cabaran di tempat ketujuh pada 8 Disember lalu.
Selain itu, Papas pula dianggap lebih menarik kerana membantu Buriram United menamatkan cabaran Thai League 1 selaku juara musim lalu selain turut berpengalaman di beberapa kelab lain.
Uniknya, Papas turut dikenali kerana pakar dalam situasi taktikal menyerang yang dianggap mampu memperkukuhkan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Walaupun begitu, masih belum ada pengesahan rasmi mengenai calon jurulatih baharu Malaysia dan sudah tentu persoalan demi persoalan akan terus diutarakan peminat di media sosial.