‘Pakar Skuad Kebangsaan’ – Herve Renard Yang Namanya Bakal Dipateri Dalam Sejarah Bola Sepak Arab Saudi

Herve Renard Arab Saudi Piala Dunia 2022

Nama Herve Renard kini meniti di bibir ramai di Piala Dunia 2022 selepas skuad kendaliannya, Arab Saudi mengejutkan Argentina, petang semalam.

Menariknya, berdepan juara dunia dua kali itu dalam aksi sulung Kumpulan C, Arab Saudi berhasil untuk menumbangkan mereka dengan keputusan 2-1 di hadapan lebih 88,000 penyokong di Stadium Lusail Iconic, Doha, Qatar.

Argentina adalah pasukan yang ampuh dibarisi pemain yang sarat dengan pengalaman dan kemampuan. Tak siapa menduga mereka akan tumbang.

Ia sekaligus menebus maruah wakil Asia yang dicarik-carik oleh England selepas Iran dibelasah 2-6 dalam aksi sulung Kumpulan B, tempohari.

Siapa Renard yang berhasil mengubah takdir Arab Saudi daripada pasukan pelengkap dari Asia ke Piala Dunia kepada pasukan pembunuh gergasi?

Ia bukan semata-mata nasib! Ini harus diakui yang Arab Saudi sebenarnya bermain lebih baik daripada Lionel Messi & Co – yang pada wisel penamat akhirnya terduduk lesu. Arab Saudi berjaya menidakkan segala keraguan.

Malah, Arab Saudi juga berjaya menamatkan rentetan 36 aksi tanpa kalah Argentina sejak ia mula dilakar pada 2019 – selepas tewas kepada Brazil.

Ia satu kemenangan epik buat Arab Saudi. Jika anda masih ingat mereka pernah ‘dihenyak’ Jerman 0-8 di aksi pertama kumpulan di edisi 2002. Pada edisi lalu, dalam aksi pembukaan, mereka ‘dilanyak’ tuan rumah, Rusia 0-5. Itu sudah cukup menggambarkan mereka hanyalah pelengkap wakil Asia.

Lewat petang segalanya berubah. ‘Fabrik’ permainan mereka lebih tersusun dan hasilnya mereka secara jelas, cemerlang mengejutkan ‘La Albiceleste’.

Argentina terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Lionel Messi pada minit ke-10 menerusi sepakan penalti, sebelum ‘The Falcons’ bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Saleh Al-Shehri di minit ke-48. Salem Al-Dawsari memadam hasrat Argentina menerusi jaringannya di minit ke-53.

Kemenangan tersebut telah membantu Arab Saudi untuk menerajui carta Kumpulan C, Piala Dunia 2022 yang turut didiami Mexico serta Poland.

https://twitter.com/QatarWC2022NFT/status/1595114379590381569

Herve Renard kini menjadi sebutan waima ketika kariernya, beliau tidak sempat mencipta nama dek kerana terpaksa bersara awal disebabkan kecederaan. Beliau menjadi pekerja pembersihan sambil tidak melupakan dunia bola sepak apabila di sebelah petang, beliau akan berlatih bersama sebuah kelab tempatan. Bola sepak masih tidak lekang dari jiwanya.

Karier kejurulatihannya bermula pada tahun 1999 bersama SC Draguignan sebelum berhijrah ke beberapa buah kelab. Tetapi, segalanya tampak ‘jelik’.

Ia tidak begitu menjadi dan beliau juga dianggap gagal mengubah prestasi kelab yang dibimbingnya seperti Shanghai Cosco (China), Cambridge United (England), Song Da Nam Dinh (Vietnam) dan AS Cherbourg (Perancis).

Pada 2008, Renard dipinang Zambia dan beliau membawa mereka layak ke separuh akhir Piala Afrika 2010 – kali pertama dalam tempoh 14 tahun.

Beliau kemudian berhijrah untuk karier singkat bersama Angola diikuti kelab di Algeria,  USM Alger selama setahun sebelum kembali mengendalikan Zambia untuk melakar satu lagi sejarah buat negara Afrika tersebut.

Untuk tempoh empat tahun, Renard menghadiahkan kepada Zambia kejuaraan Piala Afrika 2012. Beliau kembali mengendalikan kelab pada tahun 2013 iaitu bersama FC Sochaux, namun gagal menyelamatkan kelab Perancis itu daripada penyingkiran – sehingga kini masih ‘tersekat’ di Ligue 2. Beliau meletak jawatan dan kembali ke arena bola sepak Afrika.

Beliau yang kini berusia 54 tahun itu membimbing Ivory Coast bermula pada tahun 2014 dan berjaya menjulang sekali lagi Piala Afrika edisi 2015.

Ini menjadikannya jurulatih pertama yang merangkul dua kejuaraan Piala Afrika bersama dua negara berbeza. Beliau tinggalkan mereka tahun yang sama dan sekali lagi beliau mengharapkan langkahnya ke kelab berhasil.

Terbang semula ke Perancis, beliau terpilih membimbing LOSC Lille, namun segalanya masih tidak berpihak kepadanya apabila dipecat selepas 13 aksi.

Beliau dipinang sebagai pengendali Maghribi pada 2016 dan membawa mereka melangkah ke Piala Dunia 2018 – kali pertama sejak 1998.

Tidak banyak mampu dilakarnya di Piala Dunia dan memilih untuk ‘angkat kaki’ selepas kegagalan mereka di saingan Piala Afrika 2019 dan kemudian rombongan Arab Saudi datang membawa beliau terbang ke Tanah Arab.

Beliau membawa mereka ke Piala Dunia 2022, malah dalam aksi pertama semalam, beliau melakar sesuatu yang tidak pernah diduga sesiapa – tumbangkan Argentina dan ia menjadi tajuk utama berita di seluruh dunia!

Malah, Kerajaan Arab Saudi mengisytiharkan cuti umum pada hari ini atas kejayaan tersebut. Turut dikhabarkan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman berkenan untuk menghadiahkan kereta kepada setiap pemain.

Nama Herve Renard bakal dipateri dalam sejarah bola sepak Arab Saudi?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN