Tak kisahlah sekaya atau sesederhana mana pun, memiliki rumah adalah impian materialistik yang universal. Ada satu perasaan yang melegakan apabila selepas bertahun-tahun membanting tulang di alam pekerjaan, kita mempunyai sebuah aset yang layak dipanggil ‘rumah sendiri’. Begitu juga dalam dunia bola sepak.
Dalam ketika kesibukan kelab bola sepak membina sebuah ekosistem pasukan yang menjamin kejayaan, seboleh-bolehnya penyokong mahu menyaksikan prosesnya di ‘rumah sendiri’. Stadium: aset bagi sesetengah pasukan, liabiliti bagi yang lain.
Dari Brazil ke Costa Rica sebelum ke Republik Czech, kita boleh menyaksikan bagaimana stadium boleh menjadi sebuah liabiliti. Semuanya akibat tiadanya budaya penyelenggaraan. Isu ini telah dan masih membelenggu pasukan seluruh dunia. Memaksa kita untuk bertanya soalan-soalan kritikal tentang masa depan stadium dan tanggungjawab pemegang taruh untuk menyelenggara infrastruktur terpenting dalam bola sepak ini.
Tiga contoh fenomena ini adalah Estadio Nacional de Brasília di Brazil, Stadion Za Luzankami di Republik Czech, dan Estadio Alejandro Morera Soto di Costa Rica. Tiga stadium ini, dahulunya diisi ‘roh’ sorakan penyokong bola sepak, kini dimamah alam, disarangi dengan rumput liar dan cendawan dan diwarnai kekaratan.
Barangkali, satu contoh yang lebih dekat di hati peminat bola sepak Malaysia adalah Stadium Shah Alam (SSA) . Dahulunya dikenali sebagai ‘rumah’ Gergasi Merah, Selangor FA. Dirasmikan pada 1994, SSA pernah menjadi hab pelbagai acara Sukan Komanwel 1998 selain berbagai-bagai perlawanan dan acara sukan serta hiburan antarabangsa. Bagaimanapun kini, ia menunggu rebah. Ribuan lubang di bumbung polikarbonat serta masalah pendawaian elektrik di SSA sangat melarat sehinggakan ia lebih berbaloi dirobohkan daripada diselenggara.
This is Stadium Shah Alam. Beautiful~ 😏 pic.twitter.com/qwZYUIsDOa
— M g t S h r z m n (@megat_sharezman) September 19, 2021
Sesebuah stadium perlu ‘dibiarkan’ tanpa penyelenggaran selama berdekad-dekad untuk dijustifikasikan sebagai ‘lebih baik dirobohkan daripada diperbaiki’. Isu ketiadaan atau kurangnya budaya penyelenggaraan di Malaysia ini berulang-ulang kali dibangkitkan oleh Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan pemilik JDT. Baru minggu lepas, baginda mendedahkan bajet RM200,000 setahun untuk menyelenggara padang, dengan menukar rumput cow grass ke rumput Zeon Zoysia pun sukar ditanggung oleh pasukan Liga Super.
Apatah lagi kos penyelenggaraan untuk memiliki stadium sendiri.
“RM200,000 setahun selenggara padang pun tak boleh terima dan cakap tak mampu, macam mana nak ada stadium sendiri? Siapa nak selenggara? Cakap dan nak buat sesuatu tu biar berdasarkan fakta. Semua cakap dan memberi gambaran tak betul kepada penyokong,” dedah TMJ di Instagram pada Khamis minggu lepas.
“Sekarang soalan saya, jika kos penyelenggaraan padang RM200,000 ribu lebih setahun pun dah merungut apatah lagi RM5 juta (untuk menyelenggara stadium).
“Dan jika stadium mempunyai teknologi canggih macam stadium baru yang di sebut sebut sebelum ini yang akan dibina. Kos penyelenggaraan mencecah RM30 atau RM60 juta setahun? Kelab boleh bayar?,” soal baginda lagi.
Sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan tawaran penukaran padang secara percuma di setiap stadium negeri. Bagaimanapun tawaran itu dipandang sepi oleh pasukan Liga Super dengan alasan kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi.
Soalan TMJ turut berkait dengan perancangan kerajaan negeri Selangor yang dikhabarkan akan membina stadium baharu Selangor FC. Kompleks stadium yang bakal didirikan di atas tapak seluas 80 hektar di tapak SSA sekarang dilaporkan akan menelan belanja RM787 juta.
Apa yang dikhuatiri adalah angka kos RM787 juta tersebut tidak menggambarkan realiti di dunia sebenar. Kos pembinaan Singapore Sports Hub (siap pada Julai 2015) yang berkeluasan 35 hektar sahaja telah menelan kos SGD1.33 bilion (RM4.3 bilion). Bagaimana kos pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam yang 2 kali ganda lebih luas dari Singapore Sports Hub menelan belanja 5-6 kali lebih rendah?
Belum cerita lagi tentang kos penyelenggaraan Singapore Sports Hub yang menelan belanja RM219 juta setahun. Bayangkan pula kos penyelenggaraan setahun Kompleks Sukan Shah Alam.
“Kos selenggara stadium JDT sahaja RM7 juta setahun. Itu pun kami terkial-kial nak bayar dan selenggara. Kalau stadium lebih kecil kemungkinan RM4 juta atau RM5 juta setahun,” jelas TMJ lagi.
TMJ bercakap tentang Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang memiliki kemudahan bertaraf dunia, mendapat pujian peminat dan pemain seantero dunia, pernah merangkul anugerah Stadium of The Year 2020 dan telah menganjurkan acara bertaraf dunia seperti Spartan Stadion.
Pencapaian SSI boleh disuluri daripada perancangan teliti, mata yang tajam serta komitmen untuk menjadi terbaik dari TMJ sejak dibuka pada Februari 2020. Ia teras utama budaya penyelenggaraan tiada kompromi yang diterapkan oleh TMJ. Barang belum rosak, ia sudah diselenggara. Penerapan budaya ini adalah komitmen utama baginda ke arah kejayaan jangka masa panjang JDT. SSI kini menjadi aset JDT paling berharga dan sumber kebanggaan penyokongnya.
The Home of the Southern Tigers ready for the National Team pic.twitter.com/3Siby6xspB
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) March 22, 2023
Maka tak hairanlah pengurusan SSI baru-baru ini telah dijemput untuk menganggotai Persatuan Pengurusan Venue (Asia dan Pasifik) di Asia-Pacific Venue Industry Congress ke-30 yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Mei di Melbourne, Australia. SSI adalah wakil tunggal dan pertama dari Malaysia di platform ini.
Ketika kejujuran pasukan Liga Super yang mengaku tidak mampu secara kewangan untuk mengambil alih aset padang dan stadium KBS boleh dipuji, mereka masih perlu menjawab soalan: bagaimana mereka boleh memperuntukkan jutaan ringgit setiap tahun untuk membeli pemain import tetapi tidak boleh memperuntukkan RM200,000 setahun untuk menyelenggara rumput stadium?
Dalam pada masa yang sama, perancangan mega kerajaan negeri Selangor untuk membangunkan Kompleks Sukan Shah Alam perlu diteliti kerana dua sebab. Pertama, takut ada cakap-cakap temberang. Kedua, takut pisang di Seksyen 13 Shah Alam berbuah dua kali.