Saya meletakkan harapan yang tinggi untuk perlawanan ini kerana statusnya sebagai pertarungan di antara 2 pasukan teratas.
Namun jelas sekali ia tidak seperti yang disangkakan. JDT menang 0-2 di tempat lawan sekaligus melebarkan jarak kepada 12 mata.
Permulaan
Pahang turun dengan formasi 4-1-4-1 dengan meletakkan Azam Azih di posisi no.6. Matheus Alves menjadi penyerang tunggal.
JDT tidak ada alasan untuk menukar formasi terbaik mereka 4-3-3. Amirul Hadi menjadi pivot manakala Natxo dan Safiq Rahim menjadi ‘double 8’ di atas beliau.
JDT diberikan ruang di zon 14
Koridor paling penting adalah zon 14. Namun Pahang lemah melindungi zon ini. Kenapa?
Ini kerana pertahanan mereka berada di struktur terlalu ke bawah dengan tiada sokongan daripada pemain tengah.
Untuk bermain dalam struktur pertahanan yang lebih ke dalam, sesebuah pasukan perlukan barisan tengah untuk ketatkan struktur/’shape’. Ini gambaran bagaimana Pahang memberikan JDT ruang yang selesa di zon 14
Azam Azih tidak ada kemampuan untuk ‘berdiri’ sendiri dalam sistem 4-1-4-1. Satu sistem yang saya kerap ulas sebagai kompleks untuk pasukan yang tidak dinamik, pemain lambat untuk mengecilkan ruang bila bertahan.
Ini adalah struktur mereka yang dimanipulasi oleh JDT untuk gol pertama.
Kelemahan pertahanan Pahang
Selain daripada isu ruang, pertahanan Pahang lambat untuk bertindak. Mereka agak pasif ketika bertahan terutama sekali untuk menghentikan gerakan masuk ke dalam kotak penalti.
Lihat bagaimana Ghaddar diberikan ‘jemputan’ lebih ke dalam. Saifulnizam agak pasif bertahan pada fasa ini dan Ghaddar ‘gembira’ kerana melihat ruang yang beliau kehendaki.
Beliau semakin mudah untuk dia akses dengan menukar gerakan bila masa sesuai. Ruang ini kalau Ghaddar dapat, memang ruang terbaik untuk melakukan ‘cutback’. Ingat! Cutback jauh lebih bahaya daripada hantaran silang tinggi.
Dari anatomi gol yang sama, kita melihat di sini, Pahang memiliki pengurusan zonal marking yang lemah dengan 7 pemain mereka ada di dalam kotak penalti. Mereka jelas mahu mewujudkan numerical advantage apabila bertahan.
Namun mereka gagal dalam menguruskan struktur pertahanan secara unit.
Gerakan bijak dari Cabrera untuk menambahkan opsyen dari belakang dan menyambut hantaran ‘cutback’ yang lebih kepada ‘searching pass’ ataupun hantaran yang dihantar ke zon bahaya tanpa menujukan kepada pemain tertentu. Inilah pentingnya gerakan tanpa bola .
Lihat gol kedua JDT ini, masalah yang sama, pemain tengah malas dan tidak mampu untuk turun membantu pertahanan.
WOW! ‘That Space’!
Seterusnya adalah sistem ‘pressing’ pasukan Pahang yang agak rendah pada awal perlawanan sedangkan mereka sudah ketinggalan di minit awal. Lihat bagaimana JDT mengawal bola tanpa ada tekanan.
Sistem double 8 pasukan JDT
JDT menjadikan Amirul Hadi sebagai pivot tunggal di dalam perlawanan ini. Mereka menggunakan Safiq Rahim dan Natxo sebagai no.8 kembar di atas pemain no.6
Rantai trio tengah ini sentiasa berinteraksi. Ketika Natxo melakukan gerakan ke atas, Safiq Rahim akan menambahkan sokongan di ‘depth’ bahagian serangan. Amirul Hadi seperti biasa akan menjadi bek separa (half back).
Perkara yang sama akan dilakukan oleh Natxo jika Safiq Rahim melakukan larian ofensif ke kawasan serangan. Lihat penjelasan di bawah ini bagaimana mereka membentuk sokongan bahagian serangan.
Serangan vs pertahanan JDT
Pahang ada isu kreativiti yang kritikal. Pemain mereka kerapkali buntu untuk melakukan tindakan akhir. Wan Zaharulnizam antara pemain yang perlu meperbaiki aspek ini.
Ketika menyerang, Alves kerap berjuang sendiri tanpa ada sokongan segera dari bahagian belakang. Ini memudahkan tugasan Antonio yang jelas diarahkan untuk ‘menghancurkan’ gerakan Alves.
Jika pada fasa bertahan Pahang ada masalah dengan ruang di zon 14 lawan kerana lambat menutup/mengecilkan ruang, pada fasan serangan mereka ada masalah yang serupa.
Sokongan di bahagian depth sangat lemah dan terlalu banyak hantaran ke sisi yang tidak penetratif.
Rumusan
Adakah JDT bermain terlalu bagus ataupun Pahang bermain teruk? Secara jujurnya, JDT tidaklah berada dalam prestasi terbaik secara pasukan, namun Pahang gagal memberikan saingan lebih baik.
Dollah Salleh tidak melakukan sebarang perubahan kepada taktikal beliau yang ternyata ada isu tactical error.
Tactical error ini berlaku kerana pemain tidak mampu menggalas tuntutan sistem 4-1-4-1. Masalah ini pernah berlaku ketika malam final Piala FA menentang Kedah tempoh hari.
Sistem serangan Pahang ‘isolated’ dengan teruk sepanjang 90 minit. Mereka terlalu bergantung kepada larian Sumareh.
Pada separuh masa kedua, pertarungan agak tersekat di tengah. Namun JDT mengambil kesempatan dengan ruang yang besar sekali lagi.
Secara peribadi saya merasakan staf kejurulatihan kedua-dua pasukan ada cabaran besar untuk menurunkan berat badan beberapa pemain mereka yang jelas ‘menikmati’ cuti raya.
Pemain terbaik pilihan semuanyaBOLA
Natxo Insa (JDT)
Pemain yang memberikan sokongan ketika menyerang dan bertahan. Apabila pemain tengah melakukan jaringan gol, mereka wajar diberikan pujian.
Beliau seperti sudah bermain dalam Liga Malaysia sejak 3 tahun yang lalu.
Sumbe foto: JST