Pahang Sah Tolak Tawaran Ke Piala AFC 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Laman facebook rasmi Persatuan Bolasepak Negeri Pahang hari ini mengumumkan bahawa mereka tidak akan menyertai kejohanan Piala AFC tahun depan.

Menurut kenyataan rasmi tersebut, mereka membuat keputusan untuk menolak penyertaan ke kejohanan itu kerana ingin memberikan tumpuan kepada saingan Liga Domestik.

Makluman Rasmi :

Posted by Pahang FA on Monday, November 20, 2017

“Rentetan daripada kenyataan akhbar Kosmo bertarikh 20 November 2017 yang menyatakan ‘Pahang ganti Kedah beraksi di AFC’.

“Dengan ini, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang ingin menjelaskan bahawa Persatuan Bolasepak Negeri Pahang telah ditawarkan menyertai Pertandingan Piala AFC 2018 melalui surat FAM bertarikh 9 November 2017.

“Walaubagaimanapun, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang telah menolak untuk menyertai Pertandingan Piala AFC 2018 melalui surat bertarikh 14 November 2017. Ini adalah untuk memberikan sepenuh perhatian kepada Liga Domestik Malaysia. Sekian, Terima Kasih.,” petikan daripada kenyataan itu.

Pahang yang meraih tempat kedua dalam saingan Liga Super dan naib juara Piala FA musim ini ditawarkan slot tersebut berikutan kegagalan pasukan Kedah melepasi syarat pelesenan yang ditetapkan oleh AFC.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam kenyataan bersama Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) berkata, keputusan tersebut dibuat selepas KFA gagal mengemukakan penyata kewangan beraudit.

“Sehingga tarikh berkenaan (bulan lalu), Kedah tidak menghantar penyata kewangan beraudit mereka yang merupakan kriteria wajib. Keputusan untuk tidak memberikan lesen AFC kepada KFA adalah mengikut peraturan yang ditetapkan AFC,” katanya.

PERCUMA: Bandage Mudah Lekat.

Hak Cipta © Semuanya BOLA Sdn. Bhd. 1179367-U