Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Analisis: Pahang Pilih ‘Salin’ Penyerang Import, Kuburkan Impian Penyerang Tempatan

Untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2019, Pahang telah beraksi sebanyak 18 perlawanan termasuk aksi Shopee Piala FA yang menyaksikan mereka telah melangkah ke separuh akhir.

Disebalik kejayaan menjadi 4 pasukan terbaik di Piala FA musim ini, Pahang sebenarnya sedang melalui fasa kemarau jaringan. Di Liga Super sehingga kini, mereka hanya menjaringkan 20 gol – antara 5 pasukan yang merekodkan jumlah jaringan terendah.

Benarkah Pahang kemarau jaringan sedangkan mereka berada di kedudukan kedua liga serta layak ke separuh akhir Piala FA?

Kemarau jaringan yang kian kritikal

Jika dilihat kepada jumlah gol yang dihasilkan oleh Tok Gajah, ia jelas makin berkurangan. Untuk aksi liga sahaja, mereka telah kemarau jaringan dalam tiga perlawanan berturut-turut – menentang PJ City FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak.

Untuk 5 aksi terkini, hanya 5 gol dihasilkan dan kelima-limanya daripada saingan Piala FA. Dan jika hanya aksi liga diambil kira, Pahang hanya meledak 2 gol dalam 5 perlawanan terkini.

Jika dipecahkan pula kepada dua bahagian iaitu fasa 9 perlawanan awal dan terkini, Pahang jelas mengalami penurunan jaringan yang kritikal. 9 perlawanan pertama sejak Februari, Tok Gajah telahpun merekodkan 22 gol, sementara dalam 9 perlawanan terkini, hanya 10 gol terhasil. Penurunan mendadak hampir 55%.

msl 2019 results

Begitupun, Tok Gajah kekal gah berada di kedudukan kedua liga dengan 26 mata, 4 mata di atas Kedah dan kurang 1 perlawanan. Di puncak liga, JDT pula kelihatan kian jauh 13 mata di depan.

Perbandingan musim lalu

Melihatkan pula perbandingan dengan 14 perlawanan awal liga yang dilalui musim lalu, anak buah Dollah Salleh telah meledak 25 gol, 5 gol lebih daripada musim ini – 5 perlawanan tanpa jaringan.

19 gol adalah daripada pemain import antaranya menerusi Patrick Cruz dengan 6 gol, Francis Forkey Doe (5 gol) dan Mohamadou Sumareh yang ketika itu masih berstatus pemain import (3 gol).

Sementara untuk musim ini menyaksikan hanya 14 gol dihasilkan oleh pemain import majoritinya menerusi Dickson Nwakame (5 gol), Ze Love (4 gol) dan juga pertahanan, Herold Goulon (4 gol).

Pemain tempatan pula dilihat mengekalkan jumlah sumbangan gol yang sama iaitu 6 gol. Jadi, adakah masalah penyerang import?

Masalah penyerang import?

Apa yang dikatakan adalah masalah jentera serangan yang gagal berfungsi dan ianya ditujukan kepada dua penyerang import yang kerap disenaraikan dalam kesebelasan utama, Dickson Nwakaeme dan Ze Love. Adakah Pahang hanya bergantung kepada mereka?

Ze Love, Penyerang, Pahang FA

Kredit foto: Pahang FA

Untuk rekod sehingga perlawanan menentang Perak pada 19 Mei yang lalu, Dickson Nwakaeme telah beraksi dalam 9 perlawanan sementara Ze Love pula telah membuat 13 penampilan.

Dickson Nwakaeme dikatakan sedang bergelut dengan masalah kecergasan dan atas sebab itu, dia kini kerap disisihkan. Begitupun, penyerang berusia 33 tahun itu masih mampu menjaringkan 5 gol berbanding Ze Love yang hanya mampu mencetak 4 gol.

Sebelum kembali menyertai Pahang, pemain berasal daripada Nigeria itu hampir dua tahun tidak menyepak bola atau lebih tepatnya tidak beraksi bersama mana-mana pasukan selepas meninggalkan kelab liga Perancis, SCO Angers.

Selain dua pemain import tersebut, Pahang sebenarnya memiliki ‘produk tempatan’ yang sebenarnya boleh digunakan ketika krisis sebegini iaitu penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan juga penyerang muda, R. Kogileswaran.

Norshahrul Idlan Talaha dan R. Kogileswaran

Penyerang berpengalaman skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha sehingga kini telah meledak 3 gol buat Pahang dalam 838 minit permainannya. Dan jika terus diberikan peluang, pemain berusia 33 tahun ini mungkin boleh membantu mereka.

Pemain yang mesra disapa Matyo ini sebenarnya masih memiliki sentuhan jaringan. Misalnya, dalam Kejohanan AFF 2018 yang lalu, beliau merupakan penjaring kedua terbanyak di belakang pemain Thailand, Adisak Kraisorn dengan 5 gol. Selain itu, jaringannya yang menyingkirkan juara bertahan Thailand di bumi Thailand.

Mula menyertai Tok Gajah sejak 2016, R. Kogilesawaran pula kurang mendapat tempat dalam skuad utama sehingga kini. Kogi adalah pemain muda yang penuh potensi ketika berusia belasan tahun. Jika kita semua masih ingat, gandingannya bersama Mohd Najmuddin Samat amat berbisa ketika bersama skuad B-16 negara.

Norshahrul Idlan, Kogileswaran, Penyerang, Pahang FA

FOTO: Pahang FA

Kombinasi jaringannya bersama Najmuddin membantu Malaysia menjulang kejuaraan pertama negara di Piala AFF B-16 2013 dan kemudian meneruskan langkah baik mereka di Kejohanan AFC B-16 – layak hingga ke suku akhir, tewas tipis 1-2 kepada Australia.

Untuk musim ini, Kogi baru sahaja membuat 2 penampilan ketika aksi menentang Terengganu dan Perak. Walaupun sebagai pemain gantian, ia tetap membantunya menyerlahkan kemampuannya. Dan ketika ditanya Berita Harian, dia mengharapkan lebih banyak peluang buatnya selepas ini untuk membuktikan keupayaannya.

Untuk menajamkan semula sentuhannya, Kogi memerlukan masa permainan yang lebih. Setakat ini, dia hanya mengumpul 20 minit permainan daripada 1260 minit yang sepatutnya diperolehi.

Lazarus Kaimbi sah import baharu

Penyerang yang pernah menguburkan hasrat JDT untuk melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2015 dengan dua gol peribadinya, Lazarus Kaimbi kini sah telah direkrut untuk menggantikan Ze Love di jentera serangan Tok Gajah.

Pengesahan rasmi ini juga telah menguburkan hasrat penyerang tempatan seperti Matyo dan Kogi untuk diberikan lebih peluang beraksi berikutan kekurangan impak pemain-pemain import.

Rekod jaringannya bersama tiga kelab Thailand sebelum menyertai Kelantan pada 2018 iaitu Suphanburi, Bangkok Glass dan Chiangrai United agak baik namun mungkin sisi lain pemain ini wajar dilihat oleh pengurusan Pahang kerana Lazarus Kaimi boleh dikategorikan sebagai pemain yang agak vokal ketika mengeluarkan kenyataan.

Lazarus Kaimbi

FOTO: BH Online

Antaranya, pemain berusia 30 tahun ini didapati pernah mengkritik pengendali skuad kebangsaan Namibia, Ricardo Mannetti pada 2016 kerana mengugurkan namanya dari skuad negara.

Setahun sebelum itu, beliau pernah digantung 4 perlawanan bersama denda akibat pergaduhan dalam padang ketika beraksi bersama Bangkok Glass – kemudian ditamatkan kontrak sejurus mengeluarkan kenyataan berkaitan kejadian itu di Instagramnya.

Jadi, adakah Lazarus Kaimbi adalah pelaburan berbaloi berbanding memberi peluang penyerang tempatan mengasah taring?

Penutup

Apabila penyerang import gagal memberi impak berkesan, pihak pengurusan dan jurulatih hanya akan berfikir untuk menggantikan pemain tersebut berbanding mengintai pilihan lain yang berada di bangku simpanan sendiri terutamanya penyerang tempatan.

Sudah banyak bakat muda di posisi serangan yang lenyap akibat sikap pilih kasih sebegini. Mungkin benar, kualiti kita jauh ke belakang berbanding penyerang import yang dibawa, namun cuba lihat perkembangan Safawi Rasid di JDT, bagaimana dirinya dibentuk sehingga menjadi antara senjata utama JDT ketika ini.

Ya, memberi peluang adalah pilihan pihak pengurusan dan jurulatih. Kalau tak digilap pemain itu, bagaimana nak peroleh hasilnya. Kalau pasukan hanya bergantung dengan penyerang import, bagaimana dengan nasib produk tempatan? Ini bukan hanya berlaku di Pahang, malah hampir semua pasukan di Liga M.

Oleh itu, masalah Pahang yang melalui fasa kemarau jaringan ini mungkin boleh diperbaiki jika pihak kejurulatihan memberikan peluang yang adil kepada penyerang tempatan menyerlahkan kemampuan mereka. Masih mahu salahkan prestasi penyerang import atau mahu mula gilap bakat penyerang muda tempatan?

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!