Skuad tok gajah kemungkinan akan terus mendaftar pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan tanpa perlu menunggu jendela perpindahan kedua dibuka.
Pada Oktober lepas, Malaysia Football League (MFL) mengumumkan Pahang boleh mendaftar Sumareh sebagai pemain tempatan bermula pada bulan Mac 2019.
Ia bermakna Sumareh tetap dianggap sebagai pemain import pada jendela perpindahan pertama walaupun sudah beraksi dengan skuad kebangsaan dalam saingan Piala AFF minggu lalu.
Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata dalam Berita Harian, surat rayuan sudah dihantar oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) kepada MFL minggu lalu untuk membenarkan Sumareh terus didaftar sebagai pemain tempatan.
“Oleh itu, kami harap MFL mempertimbangkan Sumareh yang juga pemain naturalisasi didaftarkan sebagai pemain tempatan.
“Sudah pasti peminat bola sepak khususnya Pahang mahu melihat Sumareh beraksi sebagai pemain tempatan selepas membantu skuad kebangsaan muncul naib juara Piala AFF.
“Sememangnya kami mengharapkan keputusan positif daripada MFL terutama bagi urusan pendaftaran pemain import baharu dalam usaha memperkasakan skuad Tok Gajah,” katanya.
Sumareh wajar diberi kelonggaran untuk didaftar sebagai pemain tempatan selepas memberi sumbangan kepada negara
Sumareh mendapat kerakyatan Malaysia secara sah selepas telah bermastautin di Malaysia sejak berumur 12 tahun. Malah, beliau telah dibesarkan di sini dan mendapat pendidikan awal di sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur.
Beliau mendapat panggilan pertama untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan ketika tugasan menentang Sri Lanka di Colombo dan Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat pada 8 Oktober dan 12 Oktober 2018.
Sumareh melakukan debut menentang Sri Lanka dalam perlawanan persahabatan dan beliau menjaringkan gol antarabangsa pertama beliau untuk Malaysia dalam perlawanan itu.
Lebih manis lagi, pemain yang digelar sebagai ‘Keli boy’ itu mendapat pujian daripada rakyat Malaysia selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Piala AFF Suzuki baru-baru ini dan membantu Malaysia mara ke final.
Berdasarkan sumbangan besarnya membantu Malaysia mara ke final, adalah wajar pihak MFL memberi kelonggaran kepada beliau untuk didaftarkan terus sebagai pemain tempatan tanpa perlu menunggu tempoh pendaftaran yang ditetapkan.