Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) semalam telah mengumumkan mereka telah mencalonkan Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi untuk jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah letak jawatan.
Menurut satu kenyataan melalui laman facebook rasmi Pahang FA, pemilihan Abdul Azim yang juga merupakan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki olehnya dalam bidang pengurusan sukan.
“PBNP telah mengemukakan pencalonan Datuk Seri Abdul Azim bagi jawatan presiden untuk penggal 2018-2021 di Kongres Tahunan FAM.
“Pencalonan Azim ini berdasarkan pengalaman yang luas dimiliki beliau dan diyakini akan dapat memikul amanah serta tanggung jawab sebagai Presiden FAM.
“Kepimpinan beliau juga akan membantu FAM dalam mencapai matlamat ke arah kegemilangan bola sepak negara seperti yang disasarkan,” kata naib presiden PBNP, Datuk Akbar.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya 18 daripada 20 ahli gabungan telah mencalonkan setiausaha agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin untuk jawatan Presiden.
Walaubagaimanapun, hanya 2 ahli gabungan yang belum menyatakan pendirian mereka iaitu Pahang dan Kuala Lumpur.
Bulan lalu, Tunku Ismail menyatakan pandangan baginda mengenai Datuk Hamidin. Baginda menyifatkan Hamidin adalah individu yang paling tepat menggantikannya selepas berkhidmat untuk FAM sekian lama.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi turut menegaskan ia akan menjadi tindakan yang sia-sia jika ada individu berminat untuk bertanding dengan Hamidin.
Ini kerana Yusoff menganggap kewibawaan serta pengalaman luas Hamidin di dalam bola sepak tempatan antara faktor utama Tunku Ismail menaruh kepercayaan kepada beliau untuk menjadi Presiden FAM baharu.
“Saya harap keputusan sebulat suara Exco FAM menyokong Hamidin telah memberi isyarat. Kalau ada yang berhasrat menawarkan diri (bertanding Presiden FAM), saya harap mereka memikirkan isyarat jelas Exco FAM bagi memastikan saranan Tunku Ismail melicinkan proses, berjalan tersusun dan tiada apa-apa kemelut,” katanya.