Berita baik menanti para pemain pasukan Pahang!
Selepas mereka berjaya menjulang gelaran Shopee Piala FA, kerajaan negeri Pahang telah bersetuju untuk memberikan ganjaran kepada para pemain yang membantu pasukan menjulang kejuaraan itu.
Menurut laman New Straits Times, Menteri Besar Pahang iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengatakan ganjaran tersebut sudah berada dalam perancangan kerajaan negeri.
Kata Rosdy lagi, janji tersebut akan ditunaikan pada penghujung tahun bergantung kepada status kewangan negeri.
Beliau turut berkata akan pergi melawat para pemain pasukan Pahang sebelum perlawanan terakhir liga.
“Ya benar kami adalah merancang untuk memberikan ganjaran kepada mereka. Malah, pada sehari sebelum perlawanan akhir liga saya akan berjumpa mereka di padang latihan.”
“Memandangkan pasukan Pahang sudah menjadi juara Piala FA, kami akan tunaikan janji mereka.”
“Ia akan ditunaikan pada penghujung tahun ini bergantung kepada keadaan kewangan negeri.”
Pahang menjulang gelaran Shopee Piala FA tempoh hari selepas menewaskan Selangor dengan jaringan 2-0.
Azam Azih dan Patrick Cruz menjadi penjaring dalam perlawanan akhir domestik pertama yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berwajah baru.
Gelaran yang dijulang oleh pasukan Pahang pada tahun ini merupakan gelaran yang ketiga dijulang oleh mereka sejak piala itu diperkenalkan pada 1990.
Mereka juga pernah menjadi naib juara sebanyak 2 kali yang terbaharu pada edisi 2017.