Nota editor: Artikel ini ditulis oleh salah seorang pembaca kami, Hafiz Roosly yang berada di Stadium Darul Makmur pada malam Isnin lepas.
Siapa sangka pada tahun 2015 kita masih lagi perlu merayu untuk menonton perlawanan bola sepak di TV? Di kala bola sepak Malaysia sedang menikmati populariti setanding liga luar antarabangsa, tiada siaran langsung perlawanan pula ditayangkan.
Bagaimanapun bagi penyokong kedua-dua pasukan yang hadir di Stadium Darul Makmur, atmosfera di halaman skuad Tok Gajah amat unik dan bertenaga. Dengan kehadiran 29,000 penonton, perlawanan ‘Clash of the Titans’ ini merupakan perlawanan besar yang mahu dimenangi oleh kedua-dua pasukan walaupun saingan Piala FA baru menginjak pusingan ke-3.
Barisan kesebelasan Pahang
Satu kejutan yang dilakukan Zainal Abidin Hassan adalah Nor Azam Azih yang bermula di bahagian tengah bersama Hafiz Kamal. Bekas pemain Harimau Muda B ini telah menunjukkan permainan yang baik sepanjang penampilan cameo nya di Liga Super setakat ini.
Barisan kesebelasan JDT
Jasazrin Jamaludin sekali lagi diberi kepercayaan oleh Bojan Hodak untuk berpasangan dengan Hariss Harun di bahagian tengah. Sementara itu, Mahali Jasuli kembali ke senarai kesebelasan utama sebagai pemain sayap kanan. Di posisi bek kiri, Asraruddin Putra sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan untuk kembali bermain dari minit pertama. Selepas menjaringkan satu gol dalam perlawanan Piala AFC yang lepas, Safee Sali sekali lagi diberi kepercayaan Bojan untuk mengetuai jentera serangan JDT.
Pelan possession-based JDT tidak lancar
Menerusi rangkaian 3 pemain tengah yang sering bertukar-tukar posisi dan dinamik, adalah jelas strategi JDT untuk mengusai penguasaan bola. Menentang Pahang yang hanya meletakkan 2 orang pemain tengah, JDT mempunyai lebihan seorang pemain untuk mendominasi bahagian tengah.
Meskipun situasi 3v2 memihak JDT di tengah padang, mereka seringkali kehilangan bola terutama sekali di kawasan final third Pahang. Safiq, Jasazrin dan Hariss bergelut untuk menembusi benteng Pahang melalui siri hantaran-hantaran pendek.
Bojan yang menyedari kesukaran anak buahnya bertindak menukar strategi. Kali ini, lebih banyak hantaran dari Jasazrin dan Hariss diarahkan ke bahagian sayap yang dikemudi S. Chanturu dan Mahali Jasuli. Perubahan ini bermakna Chanturu lebih banyak terlibat dalam kerja mencipta peluang sekaligus mengurangkan fungsi sebenarnya untk membantu Safee Sali menjaringkan gol. JDT tampak bermain dalam formasi 4-5-1 dan Safee nampak terasing di hadapan.
Pahang menyerang melalui sayap kiri
Tema perlawanan pada malam itu adalah bagaimana gandingan Dickson Nwakaeme dan R. Gopinathan bekerjasama untuk menyerang melalui sayap kiri mereka. Nwakaeme yang diberi kebebasan (free role) untuk menrancang serangan Pahang merupakan duri dalam daging JDT. Hariss Harun bergelut untuk mendiamkan Nwakaeme, menyebabkan Safiq dan Jasazrin (yang kemudiannya diganti oleh Junior Eldstal) terpaksa turun untuk membantu. Ini menyebabkan JDT sukar untuk melancarkan serangan.
Strategi mereka berhasil apabila menghasilkan gol untuk Matias Conti yang menanduk masuk hantaran lintang Nwakaeme dari zon sayap kiri mereka.
Kecederaan awal menrencatkan keupayaan JDT
Apabila S. Chanturu dan Jasazrin digantikan dengan Nazrin Nawi dan Junior Eldstal, pelan Bojan Hodak sedikit sebanyak terganggu. Nazrin merupakan pemain sayap berkaki kiri. Bermain di sayap kiri, fungsi Nazrin terhad kepada pemain sayap tradisional dan tidak dapat melakukan larian cut inside sehingga menyebabkan Safee keseorangan di hadapan.
Junior Eldstal pula baru kembali dari kecederaan dan belum cergas 100%.
Perubahan taktikal Hodak menyelamatkan JDT
Pada minit ke-72, Boajn Hodak melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan Luciano Figueroa untuk membantu Safee di jentera serangan. Ketika ini, JDT bermain dalam formasi seakan-akan 4-4-1-1 dengan Figueroa berfungsi sebagai false nine (atau false ten?). Pertukaran ini membuahkan hasil apabila JDT mula menggandakan asakan melalui siri-siri hantaran pendek dan tempo permainan yang laju.
Pada minit ke-80, Hariss Harun berjaya menyamakan kedudukan hasil gerakan Figueroa dan Eldstal dari sepakan sudut.
Apakah Seterusnya?
Di sebalik kekalahan ini, Bojan Hodak perlu melihat perlawanan untuk menganalisis kelemahan mereka di jentera serangan dan tengah mereka. Mereka bergelut untuk mencipta peluang melalui hantaran pendek di tengah manakala Safee Sali bergelut bermain sebagai penyerang tunggal sehinggalah Luciano Figueroa masuk.
Bagi Pahang, mereka perlu berterima kasih kepada Khairul Azhan yang menyelamatkan 2 sepakan penentuan penalti. Zainal juga harus mengambil peluang keemasan ini sebagai tiket kepada Piala AFC akan datang. Status Pahang sebagai cup-specialist juga terbukti dengan kemenangan ini. Tahniah Pahang!
Anda mahu menulis tentang bola sepak? Tulis apa-apa sahaja pasal bola sepak (artikel lepas geram, cadangan dan sebagainya) dan hantar artikel tulisan anda ke [email protected] dan kami akan siarkan di laman web kami.
Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola
Sumber gambar: Johor Southern Tigers, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang