Penantian peminat setia pasukan Perak yang sentiasa menantikan informasi terkini mengenai pemain skuad Yob itu bakal terungkai apabila Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) telah merangka satu majlis bagi memperkenalkan barisan pemain musim 2020 pada Sabtu ini (11 Januari 2020).
Majlis yang dikenali sebagai ‘Program Meet & Greet Fans’ itu akan diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru, Ipoh bermula jam 5.00 petang hingga 11.00 malam.
Selain daripada pelancaran pasukan serta sesi meet and greet bersama pemain-pemain Perak yang pastinya menjadi tumpuan utama para penyokong, majlis turut diserikan lagi dengan persembahan ‘Live Music’ daripada band tempatan serta beberapa permainan ‘mini-sport’.
Selain Perak yang terus beraksi dalam kempen Liga Super, PAFA turut mempunyai wakil dalam saingan Liga Premier [Perak II] selepas menjadikan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) sebagai pasukan pembangunan (feeder team].
Perak sebelum ini telah kehilangan khidmat Brendan Gan dan Mohd Nor Hakim Hassan yang berhijrah ke Selangor manakala Nasir Basharudin pula memilih Terengganu FC.
Dua tonggak import, Ronaldo Henrique Silva dan Hussein Eldor tidak disambung kontrak yang menyaksikan kekosongan tersebut diisi Guilherme De Paula dan Jeon Hyo-Seok.
Perak II yang dibimbing Abu Bakar Fadzim pula akan mengadunkan beberapa pemain seperti N. Thanabalan [pinjaman], Ahmad Sukri Hamid, Khairul Asyraf Sahizah serta pemain import dengan pemain-pemain Piala Presiden Perak dan PKNP FC yang sudah melepasi had umur.
Jumpa ‘mengkome disane Yob-Yong’!
Kredit foto: Perak TBG