Pergantungan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) oleh Pesuruhjaya Sukan kerana gagal mematuhi perlembagaan persatuan tidak akan menjejaskan penyertaan Perak FC di dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Ramalingam ketika dihubungi oleh wartawan Bernama semalam.
Menurut Stuart ini kerana PAFA dan Perak FC adalah dua entiti berlainan selepas proses penswastaan pasukan itu sebelum ini.
“Perkara itu tidak timbul, kerana ia bukan dalam organisasi yang sama,” kata Stuart ketika menjelaskan status kelab tersebut dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Sebelum ini beberapa media melaporkan Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof mengumumkan pergantungan PAFA selama enam bulan kerana melanggar perlembagaan – apabila bertindak memecat 12 ahli gabungan persatuan tersebut.
Keputusan untuk menggantung PAFA dicapai dalam satu mesyuarat yang dihadiri Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian, Tajul Hasnan yang mewakili 12 ahli yang dipecat, dan Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad semalam.
“Pemecatan 12 Ahli Tidak Sah” – Perak FA Digantung Pesuruhjaya Sukanhttps://t.co/d5ep7NSpYN
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 7, 2022
12 ahli yang dipecat melalui kongres luar biasa (EGM) PAFA sebelum ini termasuklah Persatuan Bola Sepak Perak Tengah, Tapah, Kampar, Gerik, Lenggong, Hulu Perak, Kampung Gajah, Ipoh, Larut Matang & Selama, Hilir Perak, Kerian dan Persatuan Bola Sepak Melayu Perak.
Pemecatan tersebut dikatakan melanggar perlembagaan di dalam Artikel 80 PAFA berkaitan keahlian di mana tiada ahli gabungan dibenarkan menjadi dua ahli persatuan.