Zadok Yohanna: Dari Utara Nigeria Kepada Rebutan Kelab Eropah
Beberapa tahun lalu, beliau hanya anak muda yang ingin mengejar impian demi mengubah nasib keluarga. Siapa sangka!
Bercakap tentang bola sepak di benua Afrika atau Amerika Selatan, pastinya kita mengetahui ramai bakat-bakat berpotensi berjaya dilahirkan untuk menjadi bintang terkemuka dunia kini.
Kebanyakan mereka dari sana tidak bermula dengan senang, ada yang hadir dari keluarga yang sangat susah, serta mempunyai cabaran dalam mengejar karier.
Bola sepak boleh dikatakan cabang kerjaya yang cukup lumayan jika mereka berhasil melepasi rintangan sukar daripada awal. Itulah asbab mengapa kebanyakan anak-anak muda ingin mencuba nasib selaku pemain profesional.
Itulah juga perkara yang dilakukan oleh salah seorang anak muda dari Nigeria, Zadok Yohanna yang mengimpikan diri selaku pemain bola sepak profesional seperti rakan-rakannya lain.
Segalanya juga dilakukan demi mengubah nasib keluarganya menjadi lebih baik serta keluar daripada kepompong kesusahan menerusi perjalanan kariernya selaku pemain bola sepak profesional
Siapa Zadok Yohanna?
Di media sosial, riuh peminat memperkatakan tentang beliau selepas pasukan dari England, Brighton and Hove Albion menandatangani khidmatnya daripada kelab terkemuka Sweden, AIK Solna.
Dilahirkan di sebuah kampung dalam daerah Bauchi sekitar utara Nigeria, Yohanna meninggalkan keluarga beliau seawal usia 13 tahun ke Kaduna demi mengejar impian selaku pemain bola sepak profesional.
Akademi Ikon Allah merupakan destinasi pertama beliau cuba mencipta karier dengan lebih awal dan dirinya terpaksa bersaing dengan ramai lagi bakat-bakat muda berpotensi lain.
Pada awal ulang tahun ke-18, Yohanna buat julung kalinya berjaya menarik perhatian kelab dari Sweden, AIK Solna dan terlebih dahulu bermula dengan pasukan pembangunan B-19 untuk membina karier.
Statistik menyerlah
Kualiti beliau yang pesat meningkat, menjadikan Yohanna pantas diberi peluang untuk beraksi bersama pasukan utama AIK di posisi serangan menerusi keupayaan dimiliki.
Hasilnya cukup memberansangkan, apabila Yohanna berjaya merekodkan sembilan sumbangan gol hanya dalam 12 perlawanan sahaja dengan cukup konsisten.
Reputasinya yang terlalu drastik meningkat itu mendapat perhatian banyak kelab dari Eropah dan ada laporan mengaitkan dirinya bersama Real Madrid, Chelsea, dan Borussia Dortmund sebelum dirinya diikat Brighton.
Ketika bersama AIK juga, Yohanna turut mendapat panggilan menyertai kem latihan pusat bersama skuad senior Nigeria, tetapi masih belum diberi kesempatan beraksi.
Rezeki tak salah alamat
Ditandatangani dengan nilai sekitar £21.5 juta, akhirnya nasib Yohanna berubah daripada anak kampung yang daif kepada salah satu bintang muda meningkat naik dunia.
Pada sesi tandatangani kontrak bersama Brighton juga menyaksikan Yohanna tampil beremosi apabila mengenangkan nasibnya suatu ketika berjaya diubah menerusi bakat dalam sukan bola sepak.
Motivasi beliau itu menjadikan ianya cukup mahal untuk dijadikan inspirasi kepada pemain muda lain berusaha menjadikan karier bola sepak sebagai suatu yang sangat serius dan mengubah hidup mereka.
“Saya sangat gembira, dan saya nak buat keluarga saya turut bangga,” ujar Yohanna sebaik sahaja selesai menandatangani kontrak bersama Brighton.





