Yamal Tak Perlu Ke Piala Dunia 2026
Silap-silap, karier Yamal boleh rosak dengan lebih awal kalau dia pergi juga bersama Sepanyol.
Beberapa hari lalu, Lamine Yamal telah mengalami kecederaan yang memaksa beliau tinggalkan padang lebih awal ketika membabitkan aksi antara Barcelona dan Celta Vigo.
Menurut laporan dikeluarkan, Yamal terpaksa melupakan terus baki saingan musim ini bersama Barcelona untuk menjalani rawatan serta pemulihan kembali akibat kecederaan ‘harmstring’ dialami.
Lebih membimbangkan, ada kemungkinan juga Yamal bakal melupakan terus untuk bermain di pentas Piala Dunia 2026 jika gagal sembuh sepenuhnya ketika tempoh pemulihan kini.
Kebimbangan ramai buat Yamal
Ketika ini, ramai meluahkan kebimbangan mereka kepada nasib Yamal terutama sekali penyokong Barcelona dan Sepanyol yang ingin melihat sentuhan beliau di atas padang, selain risau perkara tersebut mampu membantutkan terus perkembangannya selaku bintang muda bola sepak.
Beberapa individu seperti Hansi Flick (pengurus Barcelona) juga dipersalahkan kerana beliau dianggap gagal untuk menguruskan pemain itu dengan lebih baik dan terlalu kerap menggunakan Yamal buat Barcelona musim ini.
Ini kerana Barcelona terdahulu mempunyai rekod tidak baik dalam menguruskan beberapa pemain muda mereka yang menyaksikan perkara-perkara tidak diingini telah berlaku.
Oliver Kahn beri nasihat buat Yamal
Legenda bola sepak, Oliver Kahn antara yang hadir memberi nasihat kepada bintang muda Sepanyol itu untuk tidak mengikuti saingan Piala Dunia pada tahun ini.
“Terus terang saya cakap, baik Yamal lupakan sahaja untuk aksi Piala Dunia tahun ini. Ramai yang mudah terbawa dengan emosi bila tahu saya cakap begini. Tapi bola sepak berdasarkan kebijaksanaan kita buat keputusan bukan emosi.
“Dengan usia 18 tahun, takkan kita nak lihat dia kejar sebuah kejayaan sampai sanggup gadaikan keadaan fizikalnya? Itu dah tersasar sebenarnya.
“Contoh sebelum ini kita dah lihat pada Samuel Umtiti. Terlalu kejarkan kejayaan jangka masa pendek berbanding menjaga kesihatan jangka masa panjang. Akhirnya, dia hilang tempat untuk saingan-saingan besar pada masa seterusnya.
“Jika kecederaan itu masih serius, tapi keputusan dibuat untuk tetap membawa Yamal, itu merupakan pertimbangan yang salah. Usia sebegitu kerjaya adalah keutamaan, bukannya sekadar jadi tajuk utama pada musim panas nanti.
“Kalau ikutkan, Yamal tak ada masalah untuk terus ikuti saingan Piala Dunia bagi edisi-edisi seterusnya kalau beliau sendiri bijak buat keputusan serta menjaga tubuhnya sendiri.
“Kadang-kadang, nak ambil keputusan paling sukar tu perkara paling tepat dibuat. Abaikan saja kejohanan ini dan jalani tempoh pemulihan dengan tepat. Lepas tu kembali dominasi dunia bola sepak untuk sedekad akan datang.
“Atau, terburu-buru buat keputusan untuk kejayaan jangka masa pendek dan habiskan tempoh sedekad dengan risiko lebih besar,” ujar Kahn.
Setuju dan tak setuju
Di media sosial ada yang setuju dan tidak sependapat dengan Kahn atas pelbagai faktor yang mereka lihat tentang masa depan Yamal kini untuk saingan Piala Dunia 2026.
Ada yang bersetuju dengan menyatakan masa depan pemain itu masih lagi jauh dan berpeluang untuk menyertai beberapa edisi Piala Dunia akan datang.
Tak kurang yang menganggap nasihat Kahn sangat mengarut, kerana ini adalah masa paling sesuai buat Yamal terus berkembang dan membuktikan dirinya antara pemain terbaik dunia di pentas tersebut.
Apapun, kita tunggu sahaja perkembangan terbaharu Yamal jika beliau sempat pulih sepenuhnya atau risiko besar bakal diambil Sepanyol ke atas pemain tersebut.





