Wan Kuzain Wan Kamal: Biar Lambat Asal Selamat
Peluang dah terbuka luas untuk beliau menjadi wira negara!
Akhirnya, selepas lama menanti. Pemain tengah bernama Wan Kuzain Wan Kamal berkata “sudi” untuk mewakili Harimau Malaya.
Pemain kelahiran Carbondale, Amerika Syarikat itu sudah lebih sedekad menjadi buah mulut peminat bola sepak tempatan. Dilahirkan dalam keluarga rakyat Malaysia yang menetap di sana, darah Kuzain adalah 100 peratus Malaysia. Bukannya kacukan, bersifat warisan atau dinaturalisasikan.
Cuma, apa yang menghalang Kuzain daripada beraksi di Malaysia adalah kenyataan yang dia diahirkan di Amerika Syarikat. Walaupun ibu bapanya adalah warga Malaysia, namun jiwanya adalah USA.
Bahasa utamanya adalah bahasa Inggeris bukannya bahasa Melayu, dan dia dibesarkan serta hidup dalam aturan budaya negara Uncle Sam tersebut, yamg jelas berbeza daripada rakan sepasukannya kini untuk Harimau Malaya.
Jadi, tidak hairanlah jika sedekad lalu pemain itu mempunyai impian untuk beraksi buat skuad kebangsaan Amerika Syarikat, kerana itu lebih dekat dengan jiwanya. Akan tetapi, bukannya mudah untuk sampai ke USMNT walaupun bola sepak bukanlah sukan utama negara itu. Jika Kuzain berjaya melakukannya, sudah pasti dia akan bersama Christian Pulisic dan Tim Ream beraksi di Piala Dunia 2026.
Akan tetapi, takdir adakalanya tidak selari dengan perancangan. Kuzain mungkin berasakan Amerika Syarikat adalah untuknya, namun Harimau Malaya sebenarnya adalah “rumah” untuknya. Kita boleh keluarkan seseorang itu daripada Malaysia, namun Malaysia tidak akan keluar dengan mudah daripada jasad satu-satu manusia itu.
Peluang Naikkan Maruah Negara
Piala Asean menjadi detik bermakna buat Kuzain apabila pertama kali mewakili Malaysia, beberapa tahun selepas namanya menjadi sebutan ramai. Ketika hatinya condong kepada Amerika Syarikat, ramai yang kecewa kerana Kuzain tidak sudi mewakili Harimau Malaya. Kini, dia akhirnya tiba dengan satu tugas berat.
Kuzain datang sewaktu Malaysia masih lagi belum reda daripada kes skandal tujuh pemain palsu kerana penipuan dokumen. Dia tiba semasa rakyat negara ini mula membelakangkan skuad kebangsaan kerana hampa dengan isu luar padang. Kuzain hanya ada satu peluang untuk membaiki dua situasi.
Situasi pertama adalah untuk memujuk penyokong yang sudah membawa diri daripada skuad kebangsaan rentetan isu tujuh pemain palsu. Impak Kuzain di padang amat diperlukan kerana jika dia bermain baik, penyokong akan kembali ke stadium walaupun ketika ini gerakan boikot aksi Harimau Malaya sedang berjaya.
Mereka akan kembali ke stadium untuk menonton Kuzain walaupun sedang hampa dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Bak kata pujangga bola sepak, “support the team, sack the board.”
Situasi kedua adalah membaiki pandangan penyokong terhadap Kuzain itu sendiri. Bagi sesetengah penyokong, Kuzain dianggap tidak sudi untuk beraksi buat Malaysia. Apabila dia menerima panggilan Harimau Malaya, ada yang berasakan dia seperti menjilat semula ludahnya sebelum ini. Disebabkan itu, Kuzain harus beraksi dengan sebaik mungkin demi menutup mulut pengkritik yang sekarang ini ragu terhadapnya.
Persembahan yang baik bersama Malaysia akan meredakan kemarahan penyokong terhadap isu tujuh pemain palsu. Dalam masa yang sama, Kuzain sendiri akan semakin diterima dan penyokong akan melupakan tindakan lalunya yang lebih memilih USA berbanding Malaysia.
Penulis sendiri mengakui kecewa sewaktu Kuzain lebih memilih untuk mengejar impiannya menyertai USMNT berbanding Harimau Malaya. Pada penulis, lebih baik FAM mengejarkan pemain yang tidak diragui asal usulnya berbanding cuba melakukan naturalisasi.
Namun begitu, itu adalah kariernya, Kuzain berhak menentukan jalan kariernya sendiri berbanding penulis atau kita semua sebagai penyokong untuk menunjukkan arah. Kini, dia sudah pun bersama Malaysia, apa yang boleh diharapkan adalah Kuzain boleh berjaya bersama Harimau Malaya.
Wan Kuzain Tak Pernah Terlambat
Mungkin pada pandangan kita, Kuzain mengambil masa yang sangat lewat untuk berkata “ya” kepada Harimau Malaya. Namun begitu, dalam perancangan Tuhan, ia sebenarnya adalah tepat pada waktunya buat pemain itu dan juga skuad kebangsaan.
Kita berasakan yang segalanya sudah lambat untuk Kuzain tiba di negara ini dan memilih untuk menyertai Harimau Malaya. Tapi, seperti pesanan yang sinonim dengan keselamatan jalan raya, biar lambat asalkan selamat.
Semoga Kuzain cemerlang bersama Harimau Malaya di Piala Asean. Harapnya, hasil kecemerlangan Kuzain akan membuka mata pemimpin bola sepak negara untuk tidak lagi terlalu berharap kepada bakat yang diragui asal usulnya. Yakini anak tempatan untuk angkat maruah Malaysia.





