Vinicius Jr. Tak Layak Bersama Brazil
Nama pemain serangan Brazil itu terus menjadi bahan kecaman peminat di media sosial kini.
Nampaknya, peminat-peminat bola sepak Brazil kini mula meluahkan rasa risau mereka mengenai kualiti ditampilkan oleh penyerang negara tersebut, Vinicius Jr.
Di media sosial, kebanyakan peminat negara tersebut kurang senang selepas melihat apa yang ditampilkan oleh Vini ketika bertemu Perancis baru-baru ini.
Pada aksi berkenaan, tonggak utama Real Madrid tersebut dilihat gagal membuktikan sesuatu yang lebih positif selain bermasalah untuk beradaptasi bersama rakan-rakan sepasukan lain.
Statistik lemau Vini buat Brazil
Jika diikutkan, Vini sebenarnya memang mempunyai masalah ketara ketika mewakili Brazil sejak beberapa tahun lalu dengan konsistensinya sering dipertikaikan.
Statistik menyaksikan beliau hanya mampu menyumbang 15 jaringan sejak 46 perlawanan lalu, suatu jumlah yang cukup untuk dipertikaikan oleh peminat jika kita lihat reputasinya di Eropah bersama Real Madrid.
Secara kesimpulan, purata jaringan Vini untuk Brazil adalah sekitar 0-17 sahaja bagi setiap perlawanan diharungi. Jumlah yang cukup rendah untuk penyerang berprofil tinggi seperti beliau.
Apa masalah sebenar Vini?
Jika kita lihat permainan Brazil ketika ini, Vini menghadapi masalah daripada segi sokongan yang cukup kuat untuk beliau menghidupkan peluang jaringan.
Jika di Real Madrid pemain ini serinh mendapat bantuan Jude Bellingham dari belakang, bersama Brazil ketika ini Vini menghadapi masalah untuk menghidupkan persefahaman tinggi bersama rakan sepasukan lain.
Apatah lagi transisi permainan Brazil sendiri dilihat masih perlahan dan bergelut untuk mencapai kehendak Carlo Ancelotti, ini secara langsung turut memberi kesan kepada mutu permainan Vini sendiri.
Ada juga menyatakan Vini sebenarnya beraksi dalam tekanan untuk cuba membawa legasi Neymar selaku pemain serangan utama Brazil, dan itu menyebabkan beliau gagal memberikan segalanya lebih baik. Betul atau tidak?
Cemuhan peminat
Di media sosial, ramai meluahkan rasa tidak puas hati mereka mengapa Vini diberikan jersi bernombor 10, sedangkan prestasinya masih terumbang ambing bersama Brazil.
Malah, ada beranggapan Vini sebenarnya merupakan pemain yang biasa sahaja dan beliau terlalu banyak diberi tumpuan oleh media Eropah kerana beraksi bersama Real Madrid.
Selain itu, ramai turut menyeru supaya Neymar kembali cergas dan dibawa masuk semula menyertai skuad utama Brazil bagi mengurangkan beban berat dipikul oleh Vini ketika ini.
Bangkit atau terus jadi bahan kecaman
Suka atau tidak, Ancelotti dan Vini perlu bekerjasama dengan lebih baik untuk menaikkan semula keyakinan peminat kepada skuad kebangsaan Brazil sebelum aksi Piala Dunia 2026.
Dengan prestasi semasa negara tersebut serta Vini sendiri yang longlai, ada kemungkinan juga mereka bakal menamatkan kempen kejohanan tersebut lebih awal.
Vini sendiri perlu memperkukuhkan lagi segala aspek dikehendaki, kerana kritikan akan terus timbul jika beliau gagal meninggalkan impak di posisi serangan Brazil.





