Vinicius Jr. Kian ‘Matang’ Serap Tekanan Bersama Real Madrid
Sejak beberapa minggu lalu, prestasi semasa Real Madrid menjadi sebutan ramai, dek kerana penurunan kualiti permainan mereka di atas padang.
Selain itu, nama Vinicius Jr sendiri menjadi mangsa amukan peminat menerusi prestasi beliau yang gagal memberikan impak positif buat siri serangan Real Madrid menjadi lebih efektif.
Malah, keadaan bertambah buruk apabila ada sesetengah penyokong di Stadium Bernabeu memberi makian berbaur rasis kepada Vini kerana tidak berpuas hati.
Bermula dengan kekalahan di final Supercopa de Espana kepada Barcelona, rentetan kekalahan berlanjutan apabila Vini dan rakan sepasukan dikejutkan dengan kemenangan Albacete ke atas mereka bagi aksi Copa del Rey.
Sebelum aksi berdepan Monaco di pentas UEFA Champions League (UCL), Real berjaya mencatat kemenangan 2-0 terlebih dahulu ke atas Levante di laman sendiri.
Namun, rata-rata peminat di stadium meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada pasukan tersebut ekoran prestasi dan kontroversi dalaman sedang dihadapi oleh Real sendiri.
Enggan daripada terus dibelenggu dengan tekanan emosi, pemain kebangsaan Brazil ini bangkit pada aksi berdepan Monaco beberapa hari lalu dengan aksi cukup cemerlang.
Real berjaya mencipta kemenangan besar 6-0 ke atas lawan di laman sendiri dengan Vini menjadi watak utama yang menyumbang kepada empat jaringan.
Tiga ‘assist’ dan satu gol berjaya direkodkan pemain serangan tersebut, sehingga kritikan daripada penyokong di stadium yang keras kepada beliau beberapa hari lalu, bertukar kepada pujian.
Vini berjaya menjadi hero buat Real, selepas beliau menerima tekanan yang sangat tinggi terdahulu daripada ramai peminat sehingga menyebabkan isu rasis turut berlaku.
Seusai perlawanan, Vini kekal tenang dan tidak beremosi untuk menjawab segala kritikan keras daripada peminat, kerana beliau tahu itu merupakan perkara cukup tidak matang dilakukannya selaku pemain profesional.
Menurut beliau, tekanan dihadapinya cukup tinggi kerana perlu menuruti permintaan daripada peminat yang sentiasa inginkan prestasi terbaik Vini buat Real Madrid.
“Saya tak akan sentiasa berada dalam prestasi terbaik secara teknikal, tetapi saya akan cuba berikan segalanya buat kelab ini yang sentiasa ada ketika saya memerlukan,” ujar beliau.
Musim ini menyaksikan Vini secara keseluruhan telah merekodkan 30 penampilan bersama Real Madrid dalam semua kejohanan diharungi dan mencipta 18 sumbangan gol.
Bagi aksi akan datang, tentunya Vini tampil lebih bersemangat untuk mempamerkan aksi terbaik bersama Real Madrid, demi memenuhi jangkaan para peminat.
Bagaimana pandangan anda?







