Siri dokumentari ‘Drive to Survive’ menukar jutaan Gen Z yang tak pernah menonton satu perlumbaan Grand Prix pun kepada peminat Formula 1. UNTAMED boleh melakukan perkara sama kepada JDT. Baru sahaja dirilis di jdtplus.com hari ini, ia adalah satu dokumentari yang boleh bertindak sebagai kursus JDT 101 – kenapa JDT adalah JDT seperti sekarang, lengkap dengan ulasan daripada pemain, staf, wartawan, pempengaruh dan DYAM Tunku Mahkota Ismail sendiri.
Jika anda memang penyokong JDT, UNTAMED akan mengingatkan anda kembali kenapa anda memilih untuk menyokong Harimau Selatan.
Dan jika anda salah seorang daripada pengkritik – JDT ataupun pemiliknya, DYAM Tunku Mahkota Ismail – UNTAMED akan memberikan anda jawapan jujur, disokong oleh bukti visual, kepada soalan-soalan yang anda tanya sejak 2013.
“Kenapa JDT ‘borong’ ramai pemain kebangsaan?”
Mari kita mulakan dengan soalan yang ramai pengkritik jawab dengan betul, menurut UNTAMED. Mereka mendakwa polisi JDT menandatangani ramai pemain-pemain kebangsaan, terutamanya pada awal-awal penubuhan kelab itu pada tahun 2013 dan 2014, adalah untuk menjuarai liga. Menurut DYAM Tunku Mahkota Ismail, ya – polisi itu dibuat supaya JDT dapat mencipta impak segera.
Tetapi apa yang tak betulnya adalah andaian pengkritik bahawa kerja JDT menjadi juara menjadi mudah disebabkan kuasa kewangan mereka. Walhal realitinya berbeza. Antara tahun 2013 dan 2014, walaupun berminat, pemain-pemain sebenarnya tak berani dan takut untuk menyertai JDT. Pengkritik menyangka pemain-pemain ini tergoda dengan tawaran gaji tinggi. Tetap UNTAMED menunjukkan sebenarnya ada satu sebab yang lebih kuat lagi kenapa pemain-pemain seperti Safiq Rahim, Mahali Jasuli, dan Safee Sali menyertai JDT.
Pecah telur
Musim 2013 gagal membuahkan impak segera yang diharapkan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail. Trofi liga menjadi milik Lions XII. Ketua jurulatih Fandi Ahmad meletak jawatan.
UNTAMED mendedahkan apa yang DYAM Tunku Mahkota Ismail buat pada musim 2014 sehingga akhirnya JDT bergelar juara Liga Super.
Kru UNTAMED terbang ke Bandung, Indonesia untuk mendengar cerita Bojan Hodak, yang menjelaskan bagaimana pencapaian JDT bertukar menjadi standard, dan dari standard menjadi konsistensi. Inilah bahagian yang penting. Menjadi juara sekali itu mudah, mempertahankan kejuaraan tahun demi tahun, melangkaui satu dekad, hingga memecah rekod dunia jauh lebih sukar.
Pencapaian di atas padang ini bagaimanapun perlu disaingi dengan pencapaian di luar padang. Salah satunya kewangan.
“Kenapa TMJ suka provokasi?”
Ada dua jawapan kepada dua soalan ini, dan kedua-duanya berkait dengan personaliti DYAM Tunku Mahkota Ismail sendiri.
Pertama, baginda peminat cara Phil Knight membangunkan jenama Nike. Pada peringkat permulaan, Knight menaikkan jenama Nike dengan bantuan kontroversi – dengan cara menandatangani atlet-atlet berkontroversi. Inilah yang dilakukan baginda untuk membawa perhatian semua penaja seantero Malaysia dan Asia ke JDT: dengan mengulas isu-isu kontroversi.
Kedua, ketika orang lain gementar apabila pengkritik semakin lantang, baginda sebaliknya semakin bersemangat. UNTAMED mendedahkan bagaimana baginda ‘menyerap kuasa’ daripada pengkritiknya. Semakin kuat kritikan itu dilontarkan, semakin ‘seronok’ baginda jadinya.
Dalam dokumentari ini jugalah baginda mendedahkan asal-usul dan maksud tanda pagar #WhatCanYouDo dan #TheGameIsRigged yang menjadi tema kandungan media JDT. Jika anda pernah nampak dua tanda pagar ini, UNTAMED akan mengubah perspektif bacaan anda.
“Kenapa TMJ jadi Presiden FAM, kemudian letak jawatan?”
Sejak 2013 lagi, DYAM Tunku Mahkota Ismail ada isu dengan FAM. Senarai salah-salah laku FAM itu terkandung dalam pendrive yang dipegang dan didedah baginda pada tahun 2016. Dalam UNTAMED, baginda mendedahkan ada satu salah laku FAM yang cukup besar, sehingga mendorong keputusan baginda untuk bertanding sebagai Presiden FAM.
Ketika baginda memegang tampuk kerusi Presiden FAM pada 2017, barulah banyak isu tadbir urus badan induk bola sepak negara itu diperbetulkan. Malah baginda melakukan lebih lagi: mengecilkan saiz pentadbiran FAM, mengurangkan saman MP & Silva dari RM6.5 juta ke RM1.4 juta (dan membayarnya dengan duit sendiri), melaksanakan desentralisasi kuasa pentadbiran liga daripada FAM, dan melangsaikan RM12 juta hutang lapuk FAM dengan duit baginda sendiri.
Kemudian baginda meletakkan jawatan, kerana tugasnya selesai. Baginda meninggalkan FAM dalam keadaan yang lebih baik daripada apa yang ditemuinya pada hari pertama.
“Bagaimana JDT mendominasi liga, kalau bukan kerana duit?”
Dalam UNTAMED, Bergson da Silva, Arif Aiman, Matthew Davies, La’vere Corbin-Ong dan Alistair Edwards menjelaskan sebab kenapa JDT sentiasa menang – dan tiada satu pun yang menyebut fasal duit.
Pengkritik menyangka untuk menjadi juara, anda hanya perlu membeli pemain dan trofi akan mengekori. Tak dinafikan kualiti pemain penting untuk menjadi juara. Tetapi bagi JDT, isu mereka jauh lebih susah – bagaimana anda nak memastikan barisan pemain yang dah menjuarai liga tanpa seri dan kalah, terus memperbaiki persembahan mereka? Bagaimana anda memotivasikan mereka?
Inilah sebab utama anda perlu menonton UNTAMED, kerana jawapannya terletak kepada dua perkara: budaya kelab dan kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail.
“Apa lagi yang TMJ nak kejar?”
Kenapa DYAM Tunku Mahkota Ismail masih rajin turun tengok pemainnya berlatih? Kenapa baginda masih menghabiskan banyak masanya untuk JDT? Apa yang dibuatnya di sana sehingga sibuk? Apa lagi yang baginda nak kejar? UNTAMED mendedahkan ada satu lagi misi yang baginda nak kejar. Jawapan kenapa baginda masih dahagakan kejayaan.
Rasa ‘dahaga’ baginda itu turut dirasai oleh semua orang dalam kelab. Penyokong, pemain dan staf merasainya, kerana baginda tidak mendelegasikan kerja menerapkan budaya JDT kepada orang lain. Baginda sendiri yang menerapkan budaya JDT untuk diikuti. Sehinggalah kedahagaan itu dipuaskan, JDT akan terus mengejar tiga matlamat yang disebut baginda dalam UNTAMED: mendominasi bola sepak Malaysia, menjadi pengurusan kelab bola sepak terbaik di Asia Tenggara, dan bersaing di AFC Champions League.
Bagi pengkritik JDT dan DYAM Tunku Mahkota Ismail, UNTAMED mungkin akan menjadi tontonan paling lama dalam hidup anda.
Ia mungkin tidak akan mengubah apa-apa pun persepsi, prasangka dan pendapat anda tentang JDT dan DYAM Tunku Mahkota Ismail. Malah, anda mungkin akan menjadi pengkritik lebih besar selepas menonton UNTAMED.
Tetapi jika anda menonton juga, anda takkan kecewa. Ia adalah dokumentari berdurasi 1 jam 16 minit yang akan menghiburkan anda.
UNTAMED boleh ditonton di jdtplus.com.







