Malaysia secara rasminya mencatat kekalahan 0-2 semalam di tangan China, pada aksi antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di gelanggang lawan, dengan aksi cukup mengecewakan.
Seperti dijangka ramai penyokong dan pemerhati skuad kebangsaan, ramai tidak meletakkan harapan tinggi untuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe meraih keputusan cukup cemerlang pada aksi persahabatan ini.
Apa tidaknya, Malaysia kali ini kehilangan ramai tonggak utama yang tidak dapat menyertai kem kebangsaan sehingga memaksa beberapa perubahan dalam kalangan pemain terpaksa dibuat oleh barisan kejurulatihan Harimau Malaya.
Hasilnya semalam, Malaysia tampil dengan cukup mengecewakan daripada segi keputusan permainan tidak memihak kepada kita, serta aksi diperagakan pasukan kebangsaan juga boleh kita katakan sangat teruk di pelbagai aspek.
Keputusan ini secara tidak langsung menambahkan lagi keraguan dalam kalangan peminat sebelum aksi kedua pasukan negara pada hari Selasa ini pula bertemu Yaman yang dijangka bakal menjadi satu lagi cabaran besar untuk diharungi.
Statistik dan kualiti mengecewakan
Jika kita lihat pada statistik permainan, Malaysia pada awal separuh masa pertama seolah tenggelam punca untuk menyesuaikan diri di atas padang sehingga menyaksikan China lebih unggul menguasai perlawanan dan mencipta peluang.
Menerusi statistik dikongsikan oleh Sofascore, tiada satu percubaan tepat berjaya dilepaskan skuad kebangsaan, selain lawan juga menguasai permainan sebanyak 57%, untuk menggambarkan betapa teruknya Malaysia.
Walaupun begitu, situasi berubah di separuh masa kedua dengan beberapa perubahan dibuat menyaksikan Malaysia mula mengimbangi lawan dan menguasai permainan, meskipun masih tiada gol dapat direkodkan pasukan negara.
Rodney Celvin dikritik
Di media sosial, rata-rata penyokong jelas tidak berpuas hati dengan kualiti permainan ditampilkan oleh Rodney Celvin serta beberapa lagi pemain kebangsaan, yang disifatkan punca Malaysia dibolosi sebanyak dua kali pada awal separuh masa pertama.
Berbalik pada aksi tersebut, Rodney dilihat gagal menyesuaikan diri dalam permainan, dan beberapa kali mudah dibolosi oleh lawan kerana kualitinya yang tidak konsisten pada separuh masa pertama permainan.
Ada juga yang mempertikaikan mengapa Rodney layak dipilih bersama skuad kebangsaan, tatkala prestasi beliau buat Kuching City musim ini juga sebenarnya tidak begitu memberansangkan selaku pertahanan tengah dan bukan lagi selaku pilihan utama kelab.
Selain itu, Dominic Tan, Ubaidullah Shamsul, dan Romel Morales juga dilihat kurang memberansangkan buat pasukan kebangsaan dan tiada sebarang impak besar mampu ditawarkan mereka terutama pada babak separuh masa pertama serta dianggap sebagai beban dalam kalangan penyokong.
Richard Chin cemerlang
Walaupun begitu, kelibat Richard Chin yang dibawa pada separuh masa kedua perlawanan menjadi titik tolak kebangkitan negara untuk lebih menyakinkan pada posisi serangan menerusi kelincahan dan kreativiti ditawarkan bintang Ross County tersebut.
Beberapa kali gerakannya dilihat berjaya mengkucar kacirkan pertahanan lawan, selain beliau juga tenang ketika ditekan oleh pertahanan lawan, sebelum hantaran-hantaran berkualiti dilepaskan kepada rakan sepasukan.
Richard sendiri juga menjadi antara pemain yang mendapat rating cukup tinggi oleh Sofascore dalam kalangan pemain kebangsaan, untuk menun jukkan betapa besarnya impak beliau kepada pasukan Harimau Malaya.
Bangun semula Malaysia
Tidak lupa juga, kredit perlu diberikan kepada Fergus Tierney yang berusaha sejak separuh masa pertama untuk menghidupkan siri serangan negara, dan ya, sangat malang buat bintang muda ini kerana gol beliau dibatalkan, serta dirinya turut dilayangkan kad merah.
Secara keseluruhan, prestasi semasa pasukan kebangsaan cukup tidak menyakinkan, tetapi segalanya masih mempunyai harapan untuk segera diperbaiki Tan Cheng Hoe sebelum perlawanan seterusnya menentang Yaman.
Selain penilaian pemain bersesuaian untuk dipertaruhkan, Tan juga perlu mengkaji strategi serta formasi terbaik demi memastikan maruah Malaysia tidak dirobek kali kedua ke atas pasukan lawan.








