Aksi paling mencuri tumpuan Liga Super 2026/2027 minggu kedua bakal berlangsung hari ini dengan membabitkan aksi antara Terengganu dan Selangor yang dianggap cukup menarik dalam kalangan peminat.
Untuk rekod, kedua pasukan ini berjaya meraih kemenangan pada aksi sulung lalu, dengan Selangor mengetepikan Kelantan Red Warrior (KRW) melalui keputusan 4-1.
Sementara Terengganu yang kembali berada bawah kendalian Nafuzi Zain tidak menghadapi masalah untuk mengatasi cabaran Melaka FC menerusi kemenangan 3-0 dengan aksi menyakinkan.
Hadir dengan reputasi dan kualiti pemain berkualiti musim ini, sudah tentu ramai ingin melihat pasukan mana akan berjaya memperoleh kemenangan atau keputusan berakhir menerusi keputusan seri sahaja.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) hari ini, ada kisah panas yang sebenarnya berlaku pada musim lalu membabitkan kedua pasukan berkenaan di Terengganu.
Apa berlaku musim lalu?
Pada 1 Februari lalu, kumpulan penyokong Selangor yang dikenali sebagai UltraSel telah mencetuskan kontroversi apabila mereka membuat perarakan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu tanpa kebenaran.
Selain membuat perarakan beramai-ramai, UltraSel juga turut dilaporkan membakar suar di atas jambatan tersebut serta telah mengganggu orang ramai yang menggunakan laluan tersebut dengan kesesakan berlaku.
Tindakan UltraSel itu jelas mengganggu ketenteraman awam dan pihak polis telah mengambil tindakan dengan 33 individu dikaitkan dengan kumpulan berkenaan telah ditahan.
Pada masa sama, pihak polis juga mengesahkan ada individu daripada kumpulan tersebut yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah sehingga ia mendapat kritikan keras dalam kalangan penyokong bola sepak Malaysia.
Selain itu, Selangor sendiri turut mengambil iktibar akan kejadian tersebut dengan beberapa hukuman turut dikeluarkan pasukan tersebut kepada UltraSel seperti larangan hadir ke stadium bagi beberapa perlawanan.
Moga perkara sama tidak berulang
Di media sosial kini, beberapa penyokong Terengganu hadir memberi teguran dengan lebih awal supaya perkara sama pada saingan musim lalu tidak lagi berulang.
Isu perarakan atau membakar suar antara yang diberi penekanan oleh penyokong pasukan tersebut supaya ia tidak dilakukan sekitar jambatan tersebut tanpa kebenaran sehingga mencetuskan kekacauan awam.
Selain itu, ada juga yang mahu UltraSel mengambil iktibar akan perkara yang sudah berlaku dan hadir dengan semangat kesukaran tinggi bagi sama-sama memberi sokongan kepada kelab masing-masing.
Tatkala saingan baru sahaja bermula, sudah tentu kita sendiri tidak mahu perkara-perkara negatif seperti itu berlaku lagi dan memberi gambaran buruk kepada bola sepak Malaysia.
Supaya aksi hari ini berlangsung dengan baik serta kedua penyokong mampu memberikan contoh kepada semua dengan semangat kesukaran lebih tinggi.






