Michael Carrick secara rasminya telah pun diumumkan tidak lagi bersama Manchester United menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan tersebut menerusi media sosial mereka secara umum.
Sebelum ini, memang sudah ada ura-ura masa depan Carrick bersama Man United mungkin tidak panjang kerana sudah ada beberapa perbincangan sudah dibuat dalam kalangan pengurusan tertinggi pasukan.
Apa tidaknya, sebaik sahaja tirai saingan 26/27 bermula, Carrick gagal mengekalkan impak positif yang ditawarkan beliau ketika bersama kelab berkenaan pada penghujung musim lalu dengan cukup baik.
Selain kualiti permainan yang goyah, kedudukan Man United di saingan Premier League juga cukup mengerikan, apabila mereka kini berada pada zon penyingkiran dan jauh lari daripada sasaran sebenar.
Mengikut perkiraan, kelab tersebut hanya menunggu masa sahaja untuk mengumumkan Mauricio Pochettino sebagai pengganti baharu Carrick pada saingan musim ini.
Walaupun begitu, sokongan penyokong kepada Pochettino kini dilihat berbelah bahagi kerana ada yang menyukai pengendali berkenaan, tidak kurang sangsi akan kemampuan beliau buat Man United.
Misteri Pochettino
Sebelum diumumkan secara rasmi bersama Man United, para penyokong ada yang skeptikal dengan Pochettino jika beliau mampu mengubah nasib Man United menjadi baik semula, semakin menurun, atau kekal sama seperti kebiasaan dilihat penyokong.
Ditambah dengab reputasi beliau di England juga sebelum itu tidak terlalu baik atau buruk, maka sukar untuk mereka meneka bagaimana pendekatan bakal digunakan oleh pengendali Amerika Syarikat berkenaan.
Apatah lagi beliau hadir menyertai Man United selepas ini yang sedang berada di titik terendah yang memerlukan banyak kerja wajib dibuat Pochettino untuk saingan domestik serta kejuaraan UEFA Champions League (UCL).
Tuntutan penyokong
Di media sosial, beberapa tuntutan dibuat oleh penyokong kepada Pochettino bersama Man United demi memastikan pasukan tersebut kembali berdaya saing sehingga ke penghujung musim.
Antaranya, mereka mahu supaya Pochettino cepat membuat perubahan terutama sekali daripada segi corak permainan yang lebih matang di atas padang bersama senarai pemain bersesuaian.
Antara masalah terbesar Man United musim ini terarah kepada corak permainan mereka yang begitu rapuh sekali di posisi pertahanan sehingga mengakibatkan kelab tersebut sering terlepas mata-mata penting.
Daripada segi pemain, sudah tentu Pochettino ditagih membuat perubahan terutama pada jendela perpindahan kedua nanti dengan struktur serangan dan pertahanan menjadi sasaran utama kelab berkenaan.
Paling penting, Pochettino sendiri tidak boleh mengambil masa panjang untuk menyesuaikan diri bersama The Red Devils kerana mereka perlu kembali cepat mendapatkan kemenangan dan mata dalam persaingan Premier League untuk keluar terlebih dahulu dari zon penyingkiran.
Dengan harapan tinggi diletakkan kini kepada Pochettino, sudah tentu beliau perlu bekerja dengan lebih keras atau pengendali tersebut sendiri juga bakal menjadi mangsa ‘kehilangan kerja’ selepas beberapa aksi jika tidak menyakinkan.






