Tugas Sukar Kelantan TRW Untuk Elak Jadi Kelab ‘Belasahan’
Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) nampaknya bakal menghadapi satu lagi aksi getir di pentas Liga Super 2025/2026, pada awal tahun ini, dengan mereka akan melayan kunjungan Kuching City.
Beraksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, ianya mungkin dianggap sebagai suatu kelebihan buat skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk menghadapi tentangan lawan.
Tetapi, ianya tidak akan bermakna jika Kelantan TRW masih gagal menaikkan prestasi semasa mereka ke arah lebih baik jika dinilai sejak beberapa perlawanan diharungi lalu.
Jika kita imbas kembali, Kelantan TRW mencatat semua kekalahan pada empat perlawanan terakhir mereka serta mempamerkan aksi cukup tidak menyakinkan di atas padang.
Daripada empat perlawanan berkenaan, kelab tersebut hanya mampu merekodkan dua gol serta dibolosi sebanyak 10 jaringan untuk menggambarkan situasi semasa sangat buruk.
Ketika ini, Kelantan TRW berada di tangga ke-10 dan meraih tiga kemenangan sahaja selepas mengharungi 12 perlawanan pada musim ini dengan kualiti permainan seperti ‘yoyo’.
Bertemu Kuching City hari ini, jelas ia merupakan satu lagi aksi sukar buat Kelantan TRW, walaupun Akmal Rizal menyedari pasukan berkenaan tidak lagi boleh keciciran sebarang mata penting.
Ini kerana, Kelantan TRW kini hanya dibezakan tiga mata sahaja jika dibandingkan dengan Penang yang kini berada di tangga ke-11 dan turut sedang mengintai kedudukan lebih baik.
Jika dilihat daripada segi prestasi semasa Kuching City, jelas skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tampak cukup menyakinkan di pentas Liga Super dengan hanya satu kekalahan dicatat.
Kali terakhir mereka tewas ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), dengan pasukan berkenaan mencatat kekalahan tipis 0-1 pada 24 Ogos lalu di laman sendiri.
Selepas itu, mereka konsisten mencatat keputusan yang sangat positif, dan tampil cukup berdisiplin di segenap posisi untuk menjadi antara pasukan paling sukar dihadapi mana-mana lawan musim ini.
Kedudukan terkini menyaksikan pasukan berkenaan berada di tangga kedua Liga Super, dengan mengumpul 25 mata selepas mengharungi 12 aksi serta menjadi pasukan kedua paling sedikit dibolosi selepas JDT.
Bagi aksi hari ini, ramai menyifatkan ianya sebagai satu lagi aksi mudah buat Kuching City untuk mendapatkan tiga mata terbaharu mereka sempena awal tahun 2026 di gelanggang lawan.
Namun, Aidil Sharin tentunya mengambil serius akan aksi itu dan enggan melihat sebarang kemungkinan tidak diingini berlaku selain memastikan momentum positif dapat diteruskan.
Buat Kelantan TRW pula, pembukaan tahun 2026 tampak cukup sukar buat mereka dan tentunya mereka sedaya upaya ingin cuba untuk sekurangnya meraih satu mata di halaman sendiri.
Apapun, moga perlawanan ini dapat berlangsung dengan baik tanpa sebarang insiden tidak diingini selain kedua pasukan itu juga mampj mempamerkan aksi positif sepanjang mengharungi tempoh 90 minit.





