Ada satu perkara mengagumkan yang sedang berlaku di JDT, yang pada ketika ini, berada di luar radar berita peminat bola sepak di luar Johor. Ketika perhatian peminat tertumpu kepada dominasi skuad senior JDT di Liga Super, skuad-skuad junior JDT sedang membina dinasti dominasi mereka sendiri.
Pada Oktober lepas, JDT VI dinobatkan sebagai juara Piala Belia buat kali ketiga berturut-turut. Merentasi setiap kategori umur dari bawah-12 hingga bawah-23, JDT telah mengumpul 65 trofi sejak penubuhan kelab pada 2013 – termasuk trofi Piala Presiden yang baru dipertahankan oleh JDT III (sejak 2022).
Di peringkat senior, pengkritik selalu berhujah bahawa cengkaman Harimau Selatan ke atas trofi domestik berpunca daripada kekuatan kewangan JDT. Bahawa JDT membuatkan, “...liga jadi membosankan.” Berita buruk kepada mereka — skuad JDT III dan JDT IV akan membuatkan Piala Belia dan Piala Presiden jadi ‘membosankan’ pula jika dominasi mereka berterusan.
Kejayaan JDT di Piala Belia dan Piala Presiden membuktikan visi dan kerja perlaksanaan DYAM Tunku Ismail dalam arena bola sepak Malaysia adalah standard yang perlu diikuti oleh semua pemimpin dan pentadbir. Kenapa? Sebab di dua peringkat junior ini, semua pasukan bersaing di ‘padang’ yang sama. Tiada pemain import, tiada pemain bergaji tinggi. Semua kelab bersaing dengan menggunakan pemain tempatan. Menggunakan kualiti latihan yang dimiliki di akademi masing-masing.
Pengkritik yang cuba merendah-rendahkan magnitud kejayaan JDT di peringkat junior perlu melihat semula bagaimana mereka meraikan kekalahan JDT IV di final Piala Belia 2023.
Sukan kegemaran pengkritik: whataboutism
Apabila rekod kejayaan Akademi JDT sukar disangkal, pengkritik mengalihkan ‘tiang gol’. Mereka gemar menggunakan ‘whataboutism’ dalam hujah mereka. Satu hujah yang pasti mereka akan gunakan selepas ini adalah, “Jumlah trofi di peringkat junior tak penting. Sebaliknya, berapa banyak pemain yang Akademi JDT hasilkan untuk Harimau Malaya?”
Untuk berlaku adil kepada pengkritik, hujah mereka ada asasnya. Baru-baru ini, Denmark FA mengumumkan pembaharuan cara mereka memberi gred kepada akademi di sana. Kualiti sesebuah akademi tidak lagi diukur melalui jumlah trofi atau kedudukan liga mereka; sebaliknya ia diukur oleh kualiti pembangunan dan kemajuan pemain ke peringkat senior.
20 peratus markah akan dikira berdasarkan produktiviti sesebuah akademi – berapa banyak pemain peringkat umur 12 hingga 19 mereka yang kemudiannya bermain di tiga liga tertinggi Denmark, di liga tertinggi luar Denmark, dan yang dipanggil oleh skuad kebangsaan? Menurut Denmark FA – trofi di peringkat belia boleh dimenangi oleh ‘early developers yang plateau’. Yang paling penting adalah berapa ramai pemain mereka menunjukkan perkembangan sehingga ke peringkat senior.
Ujian Denmark, diaplikasi kepada Johor
Jika anda menggunakan kayu ukur Denmark FA kepada JDT, keputusannya tetap memihak kepada mereka. Sejak Akademi JDT mula beroperasi pada 2015, mereka telah menghasilkan 13 pemain yang dipanggil ke skuad senior Harimau Malaya sepanjang 2025 dan 2026 iaitu:
Haziq Aiman
Fergus Tierney
Ramadhan Saifullah
G. Pavithran
Faris Danish
Alif Ahmad
Aysar Hadi
Feroz Baharudin
Daryl Sham
Ziad El Basheer
Arif Aiman
Hadi Fayyadh
Najmuddin Akmal
16 lagi graduan akademi mereka ketika ini berdaftar sebagai pemain Liga Super untuk pelbagai pasukan:
Alif Mutalib (Negeri Sembilan)
Ramadhan Saifullah (Kuching City)
Feroz Baharudin (JDT)
Daniesh Amirruddin (JDT)
Arif Aiman (JDT)
Umar Hakeem (Negeri Sembilan)
Hafiz Azizi (Melaka)
G. Pavithran (Terengganu)
Chia Ruo Han (Penang)
Ahmad Irfan (Penang)
Nor Hakeem Hamidun (Penang)
Danie Asyraf (Penang)
Harith Samsuri (Star City)
Amreel Iqbal (KL City)
Amirul Husaini Zamri (KL City)
Gabriel Nistelrooy (Kuching City)
Kadar produktiviti Akademi JDT setanding dengan gabungan output program Harimau Muda dan penggantinya, Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN atau NFDP) dalam tempoh yang sama. Jika pengkritik bertanya, “Berapa banyak pemain yang Akademi JDT hasilkan untuk Harimau Malaya?”, JDT mempunyai sebab untuk berbangga dengan prodiuktiviti akademinya. Dan angka ini akan terus meningkat.
Satu-satunya akademi kelab profesional sepenuhnya di Malaysia
Semua ini tidak berlaku secara kebetulan. Akademi JDT adalah satu-satunya akademi kelab di Malaysia yang mengendalikan struktur profesional sepenuhnya dari bawah-12 hingga bawah-23. Ia juga satu-satunya pemegang akreditasi Akademi Dua Bintang AFC di Malaysia.
Tetapi DYAM Tunku Ismail bukannya jenis yang cepat berpuas hati dengan apa yang ada. Untung Harimau Selatan dan untung Harimau Malaya. Ini kerana JDT kini sedang membina kompleks latihan bersepadu seluas 39 ekar bertentangan Stadium Sultan Ibrahim, dimodelkan daripada Ciudad Real Madrid di Valdebebas.
Fasiliti ini direka untuk menempatkan setiap pasukan JDT — daripada kohort akademi termuda hingga skuad senior — di bawah satu bumbung: pelbagai padang rumput, padang latihan tertutup, stadium mini, pusat sains sukan dan rehabilitasi, suite analisis prestasi, fasiliti perubatan, penginapan pemain, gimnasium, dan auditorium. Apabila siap, ia akan menjadi fasiliti pembangunan bola sepak paling canggih di Asia Tenggara.
Walau apa pun yang JDT buat, tiang gol akan terus dialihkan. Patutlah dalam dokumentari UNTAMED, DYAM Tunku Ismail berkata, “What can you do?”.
Pengkritik akan beralih daripada trofi kepada produktiviti pemain, daripada produktiviti pemain kepada sesuatu yang lain, kerana mengakui apa yang DYAM Tunku Ismail telah bina di Johor bermakna mereka terpaksa berhadapan dengan hakikat yang mereka tak mahu telan.
Bagi Harimau Selatan, seperti biasa, respon terbaik mereka bukanlah untuk berdebat dengan pengkritik. Sebaliknya dengan terus menjaringkan gol.







