Baru-baru ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasminya telah pun mengumumkan ketua jurulatih baharu buat skuad utama Harimau Malaya, dengan Bojan Hodak sah dilantik memegang jawatan panas berkenaan.
Jika diikutkan, sejak beberapa hari lalu lagi ada laporan di media sosial yang menyebut nama Bojan selaku salah seorang calon pengendali utama baharu pasukan kebangsaan negara, sebelum beliau secara rasminya diumumkan kini buat seluruh penyokong bola sepak tanah air oleh FAM.
Nama Bojan sebenarnya bukan lagi asing dalam arena bola sepak tempatan, selepas beliau sudah mencurahkan segala pengalamannya sejak beberapa tahun lalu lagi bersama skuad pembangunan kebangsaan, dan beberapa kelab tempatan serta turut dipacu oleh banyak kejayaan dalam dan luar negara.
Walaupun ada beberapa kritikan penyokong yang menyatakan FAM mengambil langkah ‘kitar semula’, tetapi pendekatan ini cukup menarik untuk diperkatakan kerana pengendali dari Croatia itu sudah masak dengan budaya bola sepak negara kita, baik di peringkat akar umbi atau skuad senior.
Malah beliau juga kini sedang berada dalam momentum terbaik, selepas kejayaan beliau sebelum itu di Indonesia bersama Persib Bandung, apabila Bojan memastikan kelab tersebut untuk meraih kejuaraan liga domestik sebanyak tiga kali berturut-turut.
Dengan kehadiran Bojan kini, jelas Tan Cheng Hoe secara rasminya menamatkan tugas beliau selaku pengendali utama negara sejak aksi persahabatan lalu menentang Yaman dengan ianya berakhir menerusi kemenangan di China.
Ke mana Tan selepas ini?
Ketika ini, Tan dilaporkan masih kekal bersama FAM dengan membawa status selaku Pengarah Pasukan Harimau Malaya, menerusi kenyataan yang dikongsikan oleh laman organisasi tersebut.
Walaupun begitu, tak mustahil juga untuk Tan cuba meneruskan karier beliau bersama pasukan baharu pada masa akan datang, jika ada tawaran menarik diberikan kepadanya.
Dengan reputasi beliau yang boleh kita katakan besar di Asia Tenggara, tidak susah untuk Tan menarik minat negara atau kelab-kelab di luar sana, atau berkemungkinan menguruskan pasukan dalam saingan domestik negara.
Walaupun mendapat beberapa kritikan peminat ketika bersama skuad kebangsaan sebelum itu, daripada segi statistik dan impak yang dipertaruhkan Tan boleh kita katakan seimbang, atau di luar jangkaan jika kita mengambil kira dengan situasi dihadapi pengendali berkenaan.
Sepanjang menjadi jurulatih, Tan berjaya muncul selaku antara pengendali tempatan yang cukup berpengaruh dan ianya sudah pun dibuktikan ketika beliau memacu beberap kelab tempatan seperti Kedah dan juga skuad senior Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Bukan sesuatu menghairankan jika nama beliau kini sudah menjadi tumpuan beberapa pasukan dalam dan luar negara yang menagih sentuhan dan pengalamannya yang cukup menyakinkan.
Negeri Sembilan atau Terengganu berminat?
Umum mengetahui kedua kelab tersebut kini sedang bergelut dengan prestasi masing-masing dalam saingan domestik, dengan mereka berada di kelompok bawahan Liga Super setelah mengharungi tujuh perlawanan.
Jika diikutkan, pasukan tersebut sebenarnya bukan calang-calang juga daripada segi barisan kejurulatihan sehingga ke pemain, tetapi segalanya masih serba serbi tidak menjadi dengan Terengganu dan Negeri Sembilan hanya mampu mengutip lima mata sahaja daripada tujuh perlawanan.
Kehadiran Tan dalam salah satu kelab ini mungkin sesuatu yang menarik untuk diperkatakan, kerana dua pasukan tersebut masing-masing mempunyai pemain kebangsaan yang pernah berkhidmat bawah kendalian Tan di pentas antarabangsa.
Dengan pengalaman Tan sendiri yang luas di pentas antarabangsa, dan pemahaman beliau sendiri dalam dunia bola sepak domestik, ini merupakan peluang terbaik buat kelab-kelab bermasalah kini untuk cuba memperbaiki reputasi mereka dengan sentuhan Tan.
Atau mana-mana kelab dari Asia Tenggara juga boleh mengintai khidmat Tan yang kini masih bersama FAM, jika ada perbincangan terbaik dapat dilakukan antara pihak terlibat. Beliau sendiri sebelum ini juga, pernah mempunyai pengalaman menguruskan kelab dari Thailand, Police Tero.
Akhir sekali, terima kasih juga kami di SB ucapkan kepada Tan, atas jasa beliau yang cukup banyak sebelum itu dalam menaikkan maruah bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa, walaupun menghadapi pelbagai kesukaran dan semoga maju jaya dengan perjalanan karier baharu buat skuad kebangsaan.






