Thierry Henry: “Semua Nak Bercakap Tentang Arsenal”
Pasukan tengah kuat dan hebat, maka normal la menjadi perbualan ramai di seluruh dunia kan?
Bekas penyerang Arsenal, Thierry Henry mengakui sejak kebelakangan ini semakin ramai peminat bola sepak bercakap tentang pasukan tersebut.
Baik daripada segi kejayaan atau kegagalan kelab berkenaan, masing-masing tampil dengan pendapat mereka di media sosial sehingga menenggelamkan berita pasukan-pasukan lain kadangkala.
Sebagai contoh, kekalahan Arsenal di pentas akhir UEFA Champions League 25/26 menjadi topik cukup popular di media sosial dalam kalangan peminat atau pemerhati bola sepak dunia.
Berbanding tentang kejayaan PSG merangkul trofi UCL buat kali kedua berturut-turut, berita kekalahan skuad kendalian Mikel Arteta masih lagi hangat dibicarakan sehingga kini.
Henry menjelaskan ada sebab mengapa jumlah pengkritik dan pembenci Arsenal semakin bertambah kini jika dibandingkan musim-musim terdahulu.
Faktor penyokong yang sangat ramai
“Bila Arsenal sedang sukar orang bercakap. Bila Arsenal meraih kejayaan pun orang berkata tentang kelab ini. Arsenal ni ada peminat yang sangat ramai di seluruh dunia.
“Dah bila ramai, setiap pendapat pun menjadi makin kuat. Setiap kejayaan pun nampak sangat besar, setiap kekalahan menjadi topik global daripada segi perbincangan.
“Paling penting, dalam setiap persaingan atau kejohanan diharungi Arsenal, ianya umpama sebuah peperangan sedang berlaku dalam kalangan peminat di media sosial,” ujar Henry.
Arsenal kembali menjadi kelab elit
Pada masa sama, Henry mengakui Arsenal sejak beberapa musim ini kembali menjadi sebuah kelab elit dan menempatkan diri dalam kejohanan-kejohanan besar.
Secara tidak langsung ini juga menambah lebih ramai musuh yang tidak berpuas hati dengan pencapaian diraih oleh The Gunners baik daripada saingan domestik atau pentas Eropah.
“Sejak beberapa tahun ini, kita dapat lihat Arsenal kembali berada di landasan terbaik untuk merebut trofi lebih besar. Dan itu merupakan perkara biasa untuk mereka mencipta musuh baharu.
“Penyokong lawan menyatakan mereka tak gemar dengan sikap peminat Arsenal yang terlalu lantang dan ada keyakinan tinggi di mana-mana. Tapi jujurnya begitulah bila setiap kelab yang berjaya mempunyai penyokong sedemikian,” ulas beliau lagi.
Ramai sokong kejatuhan Arsenal
Akhir sekali, Henry mengakui kekalahan Arsenal di tangan PSG menjadi kemuncak penyokong meraikan kejatuhan The Gunners pada pentas akhir UCL tersebut.
“Secara realiti, Arsenal menjadi antara pasukan yang ramai peminat ingin melihat kejatuhan mereka. Itu lumrah untuk sesebuah kelab besar yang sentiasa berada dalam minda mereka,” katanta akhir sekali.
Setuju atau tidak, Henry mempunyai fakta yang kita haru telan. Pembenci sentiasa ada untuk sesebuah kelab yang sangat kuat atau sedang meningkat pesat.





