Terima Kasih Arne Slot
Perubahan segera ditagih, atau Liverpool akan terus tenggelam dengan keputusan-keputusan lebih buruk.
Sebut sahaja tentang Arne Slot, ramai peminat Liverpool kini mengakui beliau antara penyebab utama mengapa pasukan tersebut begitu merosot daripada segi prestasi.
Daripada pasukan yang bergelar juara English Premier League (EPL) musim lalu, kini menjadi salah satu kelab yang bergelut dengan konsistensi permainan di atas padang.
Jika diikutkan, tidak banyak perubahan pemain musim lalu dan kini dilakukan, selain beberapa penambahan baharu turut dibuat untuk memantapkan lagi skuad semasa The Reds.
Namun, Slot gagal memastikan ianya berjalan dengan lancar selain pemilihan pemain kesebelasan utama juga antara yang menjadi pertikaian dalam kalangan peminat.
Tewas di tangan Galatasaray
Salah satu perkara yang menjadi sebab kemarahan penyokong, sudah tentu berkenaan keputusan terbaharu ketika Liverpool tewas 0-1 di tangan Galatasaray dalam aksi 16 terbaik Champions League.
Ini menjadi kekalahan kali kedua buat Liverpool sejak tiga perlawanan terakhir diharungi mereka, termasuk ketika The Reds tewas di tangan Wolves pada aksi EPL sebelum itu.
Pada aksi bertemu Galatasaray, mereka sebenarnya berjaya mencipta banyak peluang-peluang di hadapan gawang gol, selain memberi keseimbangan dalam permainan walau beraksi di gelanggang lawan.
Tetapi entah mengapa, setiap peluang yang dimiliki, gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan yang menyaksikan mereka terpaksa akur dengan kekalahan 0-1 di tangan Galatasaray yang jauh lebih unggul.
Amukan peminat di media sosial
Di media sosial, kebanyakan peminat terus mempersoalkan kredibiliti Slot bersama Liverpool, kerana keyakinan terhadap pengendali tersebut makin goyah.
Ada yang mahu supaya pengurusan tertinggi kelab tersebut mengambil langkah pantas untuk memecat Slot dan mendapatkan pengganti jauh lebih berwibawa untuk pasukan berkenaan.
Lebih menarik, sudah ada ucapan “Terima Kasih Slot”, seolah itu merupakan tanda perpisahan dipinta peminat buat pengendali itu bersama Liverpool.
Pada masa sama, Slot juga didesak untuk membuat perubahan lebih positif dalam permainan, terutama pemilihan pemain bersesuaian di atas padang.
Mo Salah turut dipersalahkan
Tidak hanya tertumpu kepada Slot, sebenarnya prestasi pemain serangan Liverpool, Mohamed Salah sendiri antara turut menjadi pertikaian dalam kalangan peminat pasukan berkenaan.
Seperti aksi berdepan Galatasaray baru ini, Salah dianggap gagal memberikan sebarang impak positif buat siri serangan The Reds, selain aksi-aksi lalu turut dipertikaikan.
Disebabkan itu ramai mengharapkan Slot mampu membuat rombakan dalam kesebelasan utama dengan pemain-pemain yang kurang menjadi mampu digantikan seketika oleh bakat-bakat muda seperti Rio Ngumoha.
Apapun, Liverpool sebenarnya masih lagi berpeluanh untuk bangkit pada aksi kedua UCL nanti berdepan Galatasaray di halaman sendiri, dengan syarat Slot perlu memikirkan solusi lebih baik.





