Terengganu Wajib Contohi Selangor
Selangor lepas selesaikan 1 kelemahan ketara mereka, terus prestasi pasukan tersebut kembali berada pada tahap terbaik.
Terengganu secara rasminya menamatkan persaingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan sedikit hambar dalam semua kejohanan disertai.
Tidak seperti musim-musim lalu, Sang Penyu kali ini gagal untuk mara ke pentas final dalam mana-mana kejohanan dan menamatkan diri mereka pada kedudukan kelima Liga Super.
Sepanjang mengharungi musim ini, Terengganu tidak dianggap sebagai pasukan yang gagal, cuma mereka tampil dengan isu konsistensi dalam permainan.
Mereka mampu hadir dengan aksi cukup menyakinkan jika masing-masing berada pada prestasi terbaik. Pada masa sama, pasukan itu juga boleh memberi mimpi ngeri kepada penyokong sendiri menerusi kelemahan semasa ditampilkan.
Misalnya pada aksi terakhir Liga Super baru ini, Terengganu berjaya meraih kemenangan 1-0 ke atas Sabah, tetapi aksi ditampilkan masih mendapat kritikan penyokong.
Apa masalah sebenar Terengganu?
Masalah utama mereka terarah kepada posisi utama kejurulatihan yang tidak berkaliber untuk membawa pasukan berkenaan menjadi lebih baik atau meletakkan Terengganu selaku antara kelab elit Malaysia.
Bermula dengan Badrul Afzan yang mengemudi kelab itu, isu serupa terus berlanjutan walaupun mereka mendapat sentuhan Tengku Hazman pula.
Tiada sebarang perubahan signifikan dalam permainan, dan Terengganu sendiri seolah tiada identiti terbaik mampu dipamerkan walaupun dibarisi oleh beberapa pemain handalan.
Daripada segi pemain, sebenarnya itu bukan isu utama kerana mereka juga antara yang membuat perubahan pada jendela perpindahan kedua dengan muka baharu ditandatangani.
Walaupun begitu, tetap ada beberapa import perlu dinilai semula kualiti mereka seperti Ngong Sam dan Diego Landis yang kurang menyakinkan daripada segi kualiti.
Apa perlu dilakukan Terengganu semula?
Contohi Selangor yang mengambil langkah pantas untuk mendapatkan jurulatih cukup berkaliber seperti Kim Pan-gon, yang berjaya membawa arus perubahan besar dalam permaiman The Red Giants.
Jika imbas kembali, Selangor juga antara yang bermasalah daripada segi permainan mereka pada awal musim bawah kendalian Katsuhito Kinoshi di pentas domestik serta Asia.
Perubahan pasukan itu mula dirasai lebih baik sejak kehadiran Kim yang berjaya mengubah landskap Selangor untuk mengekalkan diri selaku antara gergasi di Malaysia.
Ini perkara yang perlu dibuat Terengganu, dengan mereka perlu mendapatkan jurulatih bersesuaian dengan kehendak pasukan untuk menaikkan kembali status Sang Penyu di Malaysia.
Jurulatih berwibawa diperlukan
Tidak perlu berlebihan dalam menandatangani pemain, cukup dapatkan dahulu seorang jurulatih berwibawa yang bijak untuk menyusun semula daripada asas kepada tahap lebih tinggi.
Jika sikap pengurusan yang masih lagi lambat dan memilih untuk menggunakan jurulatih sebarangan, jangan hairan mengapa sokongan diberikan oleh peminat musim hadapan terus berkurangan.
Atasi segera isu semasa dengan melihat jurulatih bersesuaian demi memastikan Terengganu hadir selaku antara pencabar terkuat semula musim akan datang.





