Terengganu Layak Main Liga A1
Kalau tak kalah, mesti seri. Nak rasa menang lama-lama sekali!
Terengganu terus menjadi mangsa kritikan penyokong ketika ini, selepas mereka sekali lagi gagal meraih kemenangan untuk kekal berada di tangga kelima Liga Super 25/26.
Terbaharu, mereka mencatat kekalahan 1-2 di tangan Kuching City, ketika aksi berlangsung di gelanggang lawan semalam bersama aksi cukup mengecewakan.
Melihat kepada baki perlawanan yang ada, nampaknya Sang Penyu sudah jelas bakal menamatkan persaingan musim ini di kedudukan tersebut dan mengulangi episod lalu.
Apa berlaku pada aksi semalam?
Pada aksi yang berlangsung semalam, Terengganu sebenarnya bermula dengan sangat baik untuk mendahului tuan rumah menerusi jaringan import, Shervoni Mabatshoev pada minit ke-12.
Walaupun mendahului lawan, Terengganu sebenarnya dilihat sukar untuk mendapatkan gol kedua untuk menjarakkan kedudukan berkenaan serta sering melakukan beberapa kesilapan mudah.
Hasilnya di separuh masa kedua, mereka dihukum dengan dua gol tuan rumah menerusi jaringan Ronald Ngah Wanja serta Etame Mpacko untuk terus kecewa mendapatkan sebarang mata.
Percaturan Tengku Hazman yang membuat beberapa pertukaran pemain dilihat gagal menberikan sebarang impak terbaik dan mereka tenggelam akan tekanan tinggi diberikan Kuching City.
Statistik semasa Terengganu lemau
Selepas mengharungi lima perlawanan (termasuk aksi semalam), Sang Penyu sebenarnya hanya mampu merekodkan satu kemenangan sahaja di pentas Liga Super.
Kali terakhir mereka merasai kemenangan pada 6 Mac lalu, sewaktu mereka mengetepikan cabaran Kelantan TRW melalui keputusan 2-0 di gelanggang lawan.
Selebihnya, Terengganu hanya mampu merekodkan dua kali keputusan seri serta dua kali kekalahan untuk hanya mengutip dua mata sahaja secara keseluruhan.
Sehingga kini, kelab tersebut telah mengumpul 33 mata selepas mengharungi 22 perlawanan dengan sembilan daripadanya merupakan kemenangan, enam seri, serta tujuh kekalahan.
Terengganu juga musim ini telah pun mencatat 37 gol serta dibolosi sebanyak 31 kali untuk menunjukkan sisi kelemahan pertahanan mereka yang masih belum diatasi.
Lebih layak main A1
Di media sosial, beberapa penyokong meluahkan rasa tidak puas hati dengan prestasi semasa Terengganu yang gagal untuk konsisten, walaupun persaingan musim 25/26 hampir tamat.
Beberapa daripada mereka turut melontarkan komen tanda setuju untuk Terengganu bermain di pentas semi-pro A1 musim hadapan selepas melihat kualiti permainan semasa kelab kesayangan mereka masih di takuk lama.
Jika Terengganu terus berhasrat untuk kekal di pentas Liga Super musim hadapan, tentunya pelbagai rombakan besar perlu dibuat terutama sekali dalam senarai kejurulatihan serta pemain import lebih berkualiti.






