Terengganu Jadi Ujian Sebenar Buat Kim Pan-gon & Selangor
Selepas cemerlang merekodkan lima kemenangan berturut-turut, akhirnya Selangor bakal diuji hari ini dengan aksi berdepan cabaran Terengganu.
Bermain di gelanggang lawan, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Kim Pan-gon sudah tentu akan mendapat tentangan sengit daripada kelab tuan rumah, Sang Penyu.
Jika dilihat daripada pertemuan kedua pasukan tersebut musim ini, The Red Giants berjaya merekodkan kemenangan besar 5-2 ke atas Terengganu ketika perlawanan berlangsung di MBPJ.
Pada aksi tersebut juga, kedua pasukan mempunyai pengendali berbeza dengan ketika itu Selangor dikendalikan oleh jurulatih dari Jepun, Katsuhito Kinoshi,
Manakala Terengganu ketika itu mendapat sentuhan daripada Badrul Afzan Razali dengan situasi kini kedua mereka sudah tidak lagi berada di posisi kejurulatihan kedua kelab berkenaan.
Untuk pertemuan hari ini, masing-masing sudah membuat rombakan dan nasib Selangor mungkin sedikit baik apabila mereka kini mendapat pengendali rasmi, Kim Pan-gon.
Manakala Sang Penyu kini masih lagi belum mengumumkan pengendali baharu mereka dengan jawatan tersebut diisi sementara oleh Tengku Hazman selaku โcaretakerโ.
Daripada segi prestasi semasa, Terengganu berjaya merekodkan empat kemenangan daripada lima aksi terakhir diharungi termasuk saingan 16 terbaik Piala Malaysia.
Selangor paling gah kini, dengan Kim berjaya memacu kemenangan buat kali kelima berturut-turut termasuk pada kejohanan ACC Shopee Cup ke atas Cong An Ha Noi.
Bertemu Terengganu, secara tak langsung ia menjadi medan terbaik buat Kim untuk terus menguji kewibawaan beliau selaku pengendali Selangor kini.
Jika dilihat daripada persiapan semasa Terengganu, pasukan tuan rumah telah menandatangani beberapa muka baharu termasuk penyerang kebangsaan Curacao, Gervane Kastaneer.
Selangor turut tidak ketinggalan apabila mereka membuat sedikit rombakan dengan kemasukan beberapa muka baharu seperti Hugo Boumous dari Maghribi.
Bagi perlawanan hari ini, kami meletakkan Engku Shakir sebagai tumpuan utama buat Terengganu bagi melayan kunjungan pelawat, Selangor.
Prestasi semasa Engku Shakir kini cukup memberansangkan, dengan terbaharu beliau berjaya mencipta hatrik ketika Sang Penyu berdepan cabaran UM Damansara United.
Kemampuan beliau untuk beraksi di beberapa posisi berbeza menjadikan Tengku Hazman mempunyai kelebihan untuk mengatur strategi bersesuaian ke atas lawan berbeza.
Terarah kepada Selangor pula, tentunya prestasi Faisal Halim bakal menjadi tumpuan utama kerana keupayaan pemain sayap itu merekodkan gol cukup menyakinkan sejak beberapa perlawanan lalu.
Pandangan anda, adakah Selangor akan mengekalkan momentum kemenangan hari ini atau Terengganu kembali meraih keputusan positif ke atas pasukan pelawat?






