Terasa Juga Bila Beliau Tak Beraksi
Harapnya pengganti beliau malam ini dapat galas tanggungjawab dengan baik.
Saingan separuh akhir kedua Piala Asean 2026 bakal berlangsung malam ini, dengan Malaysia mempunyai tugas cukup berat untuk cuba melakar kejutan ke atas Vietnam.
Imbas kembali pada aksi separuh akhir pertama lalu, Malaysia mencatat kekalahan 0-2 di tangan pasukan lawan, walaupun Harimau Malaya berkelebihan beraksi di halaman sendiri.
Melihat kepada kekalahan tersebut, ramai menjangkakan Malaysia mungkin tidak mempunyai harapan lagi untuk aksi separuh akhir kedua tersebut serta melayakkan diri ke final.
Dengan jurang perbezaan dua gol serta kelebihan lawan beraksi di halaman sendiri, tidak menghairankan jika ramai menganggap peluang buat Malaysia sudah pun tertutup.
Tetapi, masih ada yang optimis dan berharap supaya beberapa perubahan perlu dilakukan supaya kesilapan aksi lalu mampu diperbaiki dengan menjadi lebih baik.
Kehilangan Wan Kuzain dirasai
Melihat semula pada aksi sebelum ini, Malaysia tampil sedikit tempang tanpa kelibat pemain kreatif seperti Wan Kuzain yang sudah pun pulang ke Amerika Syarikat bersama kelabnya.
Malah, Endrick dos Santos juga tidak diberi peluang beraksi dengan pemain tengah serangan berkenaan berada di bangku simpanan sepanjang tempoh 90 minit perlawanan berlangsung.
Kehadiran Daryl Sham dilihat belum cukup memberikan impak lebih besar sehingga menyaksikan Paulo Josue selaku penyerang utama terputus hubungan untuk mendapat peluang lebih menyakinkan.
Sebagai pengganti ketiadaan Wan Kuzain, sudah tentu kepulangan semula Endrick ditagih untuk memastikan hub kreativiti Malaysia kembali pulih dan bertambah baik.
Pemain seperti Daryl mungkin lebih baik digunakan selaku pertaruhan di separuh masa kedua atau jika Tan masih tidak menurunkan Endrick, Engku Nur Shakir dilihat selaku pertaruhan penting di posisi berkenaan.
Tak perlu rombakan besar
Bagi aksi ini, tiada rombakan besar perlu dilakukan Tan sebenarnya kerana para pemain kebangsaan tampil cukup baik sewaktu berdepan pasukan utama Vietnam tempoh hari.
Cuma Tan perlu menggariskan isu disiplin dan fokus para pemain yang perlu dijaga sehingga ke wisel penamat, untuk mengelakkan keputusan lalu terus berulang.
Pemain seperti Aysar Hadi dan Ibrahim Manusi mempunyai potensi yang cukup baik pada perlawanan lalu, cuma mereka perlu menjadi lebih peka dengan sekeliling serta cepat memahami keadaan di atas padang untuk memberikan impak pantas.
Suka juga untuk kita lihat jika pemain seperti Hadi Fayyadh bakal diberikan peluang peluang beraksi pada akai ini, kerana kita tidak tahu sejauh mana impak mampu diberikannya buat Harimau Malaya.
Apapun, fokus dan nikmati sahaja aksi ini kerana ia merupakan suatu perkara yang sangat positif jika kita lihat pada prestasi ditampilkan oleh Harimau Malaya sepanjang mengharungi kempen Piala Asean 2026.





