Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah pun meletakkan senarai pemain Harimau Malaya bagi membawa cabaran negara ke saingan Piala ASEAN FIFA 2026.
Bakal beraksi di Indonesia pada 25 September ini, rata-rata mengharapkan pasukan kebangsaan mampu membanggakan negara menerusi prestasi lebih baik bawah kendalian Tan Cheng Hoe.
Malah, ini juga merupakan peluang buat Tan untuk membuktikan dirinya masih antara pengendali tempatan yang berkualiti tinggi untuk menjulang maruah negara, setelah beliau berupaya membawa Malaysia terdahulu ke pentas separuh akhir Piala AFF 2026.
Bercakap tentang senarai pemain dikeluarkan, pelbagai pandangan dikeluarkan oleh penyokong dengan ada tampil positif serta tidak kurang pandangan-pandangan buruk telah dikeluarkan.
Malah, nama Tan sendiri tidak terlepas daripada menjadi mangsa kritikan penyokong ekoran pemilihan pemain yang dilakukannya bagi menghadapi kejohanan berkenaan tidak lama sahaja lagi.
Mana Wan Kuzain?
Beberapa hari lalu, Wan Kuzain dilaporkan tidak akan berada dalam senarai pemilihan Tan untuk memperkasakan skuad kebangsaan dalam saingan tersebut.
Di media sosial, penyokong sebenarnya sudah mula tidak berpuas hati kerana Wan Kuzain merupakan pemain yang cukup berkualiti tinggi ketika mengharungi saingan Piala AFF lalu.
Ujar Tan, beliau tidak dapat menyenaraikan Wan Kuzain kerana mengakui persaingan sengit di posisi tengah negara kini serta mahu pemain tersebut terus memberi fokus dalam karier di Amerika Syarikat.
Seperti dijangka, memang nama Wan Kuzain dalam senarai rasmi dikeluarkan, dan para penyokong mula meluahkan rasa tidak puas hati kepada Tan di media sosial semalam.
Malah ada yang menganggap beberapa pemain tengah Malaysia dipilih kali ini tidak menyerlah bersama pasukan masing-masing untuk terus menjadi pilihan utama Tan.
Masih ada sinar buat Malaysia
Apapun jika dinilai secara penuh, sebenarnya barisan pemain diletakkan kali ini untuk membawa cabaran negara ke Indonesia boleh dikatakan cukup baik.
Kehadiran Dion Cools yang ketika ini menjadi pemain Malaysia paling cemerlang di luar negara antara suatu perkara dirindui para penyokong setelah melihat keupayaannya buat Cerezo Osaka.
Tumpuan juga sudah tentu diberikan kepada Fergus Tierney kini yang memulakan karier di saingan utama Cyprus bersama Omonia 29th May pada usia 23 tahun.
Selepas tiga perlawanan diharungi, Tierney kini sudah merekodkan satu sumbangan gol dan itu membawa petanda positif buat siri serangan Harimau Malaya nanti dalam kejohanan berkenaan.
Paling menarik, pastinya kelibat tiga pemain baharu negara, Brad Tapp (warisan), Bergson da Silva (naturalisasi), dan Manuel Hidalgo (naturalisasi), yang kita semua sudah tahu tentang keupayaan mereka di atas padang.
Apapun, moga percaturan Tan untuk saingan ini menjadi belaka dan Malaysia mampu merekodkan kejayaan terindah buat para penyokong kesayangan.







