Taktikal ‘Penakut’ Arteta Dianggap Rosakkan Arsenal
Mikel Arteta kini mula menjadi bahan kritikan sesetengah peminat, ekoran taktikal diterapkan beliau buat Arsenal.
Arsenal pada musim ini sebenarnya sudah berada pada landasan terbaik untuk muncul selaku juara English Premier League (EPL) bawah kendalian Mikel Arteta.
Sehingga kini, The Gunners masih lagi gah selaku pemimpin carta EPL dan belum digugat sepenuhnya oleh pasukan-pasukan lawan seperti Manchester City dan Aston Villa.
Perjalanan semasa Arsenal
Menerusi beberapa rombakan dibuat, jelas Arsenal berada pada tahap lebih baik untuk memberi daya saing di pentas domestik serta Eropah, menerusi keseimbangan para pemain baharu tawarkan.
Di EPL sendiri kini, Arsenal sebenarnya masih lagi mendahului carta liga selepas minggu perlawanan ke-27 untuk mengumpul sebanyak 58 mata.
Namun, beberapa pertikaian muka timbul kini terutamanya kepada Arteta yang dikatakan kurang konsisten untuk mengekalkan momentum positif Arsenal.
Arteta dianggap penakut
Di media sosial, prestasi semasa Arsenal yang goyah dikaitkan bersama percaturan taktikal Mikel Arteta sendiri kurang menyakinkan sejak beberapa perlawanan lalu.
Menurut Mo_Arsenal9 di media sosial X, Arteta digambarkan lebih rela tidak tewas daripada cuba mencari kemenangan.
Malah, beliau turut menggambarkan The Gunners mungkin akan kehilangan mata penting bagi salah satu daripada tiga perlawanan liga akan datang.
Pemain Arsenal tiada mentaliti kemenangan
Selain itu, beberapa kritikan lain turut diberikan kepada para pemain Arsenal sendiri yang tampil dengan mentaliti kurang baik untuk memacu kemenangan Arsenal.
Aksi berdepan Brentford baru-baru ini antara membuatkan segelintir peminat tidak berpuas hati dengan beberapa pemain terutama sekali, tonggak utama, Bukayo Saka.
Musim ini menyaksikan Saka antara pemain Arsenal paling mengecewakan, menerusi sumbangan gol atau impak beliau di atas padang yang kurang dirasai.
Pada masa sama, pemain seperti Eberechi Eze terus dipinggirkan oleh Arteta, dengan beliau kurang mendapat minit permainan untuk menyumbang sesuatu kepada pasukan berkenaan.
Selain dihimpit beberapa masalah kecederaan, ada desakan supaya Arteta merombak kembali senarai pemain terbaik untuk dipertaruhkan dan mungkin beliau perlu berbelanja lagi pada musim panas akan datang.
Arsenal masih berpeluang
Arteta masih ada masa sebenarnya untuk membentuk kembali Arsenal berada pada tahap terbaik dengan persaingan liga berbaki banyak lagi perlawanan sebelum tirai saingan berakhir.
Dengan berkelebihan lima mata berbanding Manchester City di tangga kedua, mereka tidak lagi boleh keciciran sebarang mata penting demi memulihkan keyakinan peminat.





