Dalam dunia bola sepak, kebanyakan tumpuan peminat lebih terarah kepada pemain serangan yang mampu mencipta ‘assist’ atau meledak gol bagi sesebuah pasukan dalam perlawanan diharungi.
Malah, anugerah Ballon d’Or sendiri dilihat lebih bertumpukan kepada pemain-pemain serangan yang hadir dengan impak serta statistik menyakinkan saban musim dengan ianya sangat jarang diberikan kepada tonggak-tonggak posisi lain.
Posisi tengah bertahan (DM) mungkin kita boleh katakan posisi yang cukup tidak popular dalam dunia bola sepak, sebelum kini lebih ramai mula menghargai peranan mereka di atas padang.
Kejayaan Rodri merangkul Ballon d’Or telah pun mencetuskan pelbagai perbincangan dalam kalangan peminat, kerana Rodri bukannya membawa statistik tinggi dalam sumbangan jaringan. Jadi atas dasar apa beliau terpilih memenanginya?
Stigma ini yang menjadikan legenda bola sepak Sepanyol, Sergio Busquets pernah berkata: “Saya bermain di posisi yang menuntut kerja keras dan sangat tidak terkenal. Tapi saya sukakannya. Saya lebih rela memintas dan merampas 10 bola daripada membuat rembatan. Untuk itulah saya di sini, memudahkan tugas orang lain.”
Nooa Laine penyumbang terbesar kejayaan Malaysia
Bagi kem Malaysia, nama Nooa Laine antara yang kurang mendapat perhatian para penyokong walaupun beliau boleh dikatakan cukup cemerlang buat Malaysia sejak dua aksi dalam saingan Piala Asean FIFA 2026.
Nooa yang dipilih dalam kesebelasan utama sejak aksi bertemu Bangladesh lalu tampil cukup menyakinkan selaku jeneral utama negara menerusi kualiti beliau mengawal tempo permainan, pakar melakukan ‘kerja kotor’ dan seimbang daripada segi pertahanan dan serangan.
‘Workrate’ dipamerkan Nooa menjadikan Malaysia tampak selesa ketika transisi menyerang dengan beliau kekal tenang menghentikan setiap ancaman awal cuba dicetuskan lawan.
Jika di posisi pertahanan kita memberi penghargaan khas kepada ketenangan Dion Cools, dan Arif Aiman yang menjadi kunci utama kepada siri serangan Harimau Malaya.
Maka, keseimbangan ditawarkan oleh Nooa kepada pasukan kebangsaan yang menjadikan beliau terus menjadi tumpuan kami termasuk aksi bertemu Indonesia pada perlawanan kedua.
Masa depan Harimau Malaya
Pada usia 23 tahun, Nooa kini sudah mencipta 22 penampilan bersama skuad senior negara dan sudah tentu bakal menjadi teraju utama kepada posisi tengah pasukan kebangsaan pada masa hadapan.
Sehingga kini juga, Nooa sebenarnya sudah mencipta dua bantuan gol buat pasukan kebangsaan, mungkin sebuah angka cukup kecil untuk diperkatakan daripada segi statistik.
Tetapi sumbangannya boleh dikatakan cukup besar untuk mempengaruhi corak permainan pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa dan ya, kualitinya juga kian meningkat.
Kita pernah memiliki Syamer Kutty, Amar Rohidan, Baddrol Bakhtiar, Brendan Gan, dan ramai lagi suatu ketika yang memberi impak besar kepada perjalanan Harimau Malaya.
Untuk era kini, sukar untuk kita nafikan sumbangan Nooa yang cukup besar dan perlu diberi lebih banyak penghargaan penyokong kepada nadi utama pasukan kebangsaan tersebut.
Bagi aksi akan datang, suka untuk kami melihat jika Nooa mampu atau tidak mengekalkan konsistensi beliau selaku jeneral utama pasukan kebangsaan pada perlawanan menentang Singapura.






