uala Lumpur City (KL City) membuktikan segala permasalahan yang melanda pada awal musim tidak menghalang mereka untuk merekodkan keputusan positif.
Terbaharu, KL City berjaya memperoleh kemenangan 3-1 ke atas Kelantan Red Warrior (KRW) ketika mereka berkunjung ke gelanggang lawan, Stadium Sultan Muhammad ke-IV (SSMIV).
Segar dengan kemenangan 1-0 ketika berdepan Perak dalam aksi Piala FA lalu, skuad kendalian Datuk Dollah Salleh meneruskan rentak tersebut dengan KRW selaku mangsa terbaharu.
Apa berlaku pada aksi tersebut?
Pada perlawanan tersebut, kedua pasukan sebenarnya tampak seimbang dengan masing-masing hanya menyenaraikan dua pemain import sahaja untuk kesebelasan utama serta di bangku simpanan.
Tuan rumah tampil menggembirakan para penyokong mereka terlebih dahulu menerusi ledakan tonggak import serangan, Phillip Dandada Musa yang sudah merekodkan gol kedua beliau di Liga Super musim ini.
Walaupun begitu, kedudukan tersebut gagal dipertahankan apabila KL City bangkit meledak tiga gol menerusi dua jaringan peribadi Paulo Josue serta satu melalui Adam Nor Azlin.
Statistik positif KL City
Ini menyaksikan KL City berjaya memperoleh tiga mata kedua mereka di pentas Liga Super selepas mereka mengetepikan cabaran DPMM Brunei 1-0 pada aksi terdahulu.
Dua kemenangan daripada tiga perlawanan Liga Super diharungi, menjadikan KL City kini antara pasukan cukup konsisten dalam saingan berkenaan.
Malah, ini juga merupakan kemenangan kali ketiga berturut-turut jika kita nilai keputusan dicatat pasukan tersebut dalam aksi Piala FA ketika berdepan Perak.
Paulo Josue paling cemerlang
Dalam serba kekurangan, Josue menjadi pemain paling cemerlang buat KL City selaku peledak handalan kelab menerusi empat gol peribadi daripada empat aksi diharungi.
Keupayaan Josue daripada segi sikap kepimpinan beliau di atas padang serta dipacu kualiti dirinya selaku penjaring utama menjadikan KL City tampil positif sejak tiga aksi lalu.
Malah, pemain naturalisasi negara itu juga menjadi watak penting ketika KL City bangkit di Kota Bharu untuk meraih kemenangan bergaya ke atas pasukan pelawat.
Tak malu dengan KL City?
Untuk kelab-kelab lain yang sudah melakukan rombakan besar dan tidak mempunyai masalah tapi masih gagal merekodkan sebarang kemenangan musim ini, anda tidak malu dengan KL City?
Mereka hadir dengan isu dalaman pada awal musim, apabila pasukan tersebut gagal mendaftarkan pemain mencukupi untuk memenuhi piawaian ditetapkan.
Malah, pasukan tersebut turut dihukum MFL menerusi kekalahan mutlak diberikan apabila KL City gagal menyediakan pemain mencukupi untuk aksi bertemu Negeri Sembilan.
Tetapi kini, mereka gah dengan tiga kemenangan berturut-turut dan hadir dengan serba kekurangan sahaja jika dibandingkan kelab-kelab lain.
Pengurusan KL City mungkin antara yang kerap diberikan kritikan, tetapi semangat pemain pasukan tersebut wajar dicontohi apabila mentaliti kemenangan sentiasa tersemat di dada mereka.






