Kuching City masih lagi mencari-cari kemenangan pertama mereka di Asia, dengan keputusan terbaharu mereka tewas di tangan Gangwon FC dalam saingan AFC Champions League 2 (ACL 2).
Selepas mengharungi tiga perlawanan, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak seolah-olah masih lagi buntu untuk beradaptasi di atas padang dengan segalanya dilihat serba serbi tidak menjadi.
Seperti semalam, mereka mencatat kekalahan kali kedua di saingan berkenaan, dengan pasukan itu terpaksa akur tewas 0-1 di tangan wakil kelab dari Korea Selatan, yang akhirnya berjaya mendapatkan kemenangan sulung.
Di peringkat Kumpulan H kini, hanya Kuching City yang masih gagal mendapatkan sebarang kemenangan dengan pasukan itu cuma meraih satu mata sahaja daripada tiga aksi diharungi dan berada di tempat terakhir.
Masih ada peluang untuk bangkit, persoalannya mampu atau tidak sahaja dengan prestasi semasa pasukan tersebut sendiri berada pada tahap cukup membimbangkan dalam saingan kedua tertinggi Asia itu pada musim ini, walaupun dibarisi ramai bintang.
Statistik cukup teruk!
Pada aksi bertemu Gangwon FC semalam, segalanya tampak serba tidak menjadi daripada segi disiplin pertahanan, kreativiti mencipta peluang gol, dan ketajaman penyudah yang masih tumpul.
Paling mengecewakan pada aksi tersebut terarah kepada dua import, Dylan Wenzel-Halls dan Kaishu Yamazaki yang dilihat gagal untuk menyaingi intensiti permainan pasukan lawan yang pantas.
Boleh dikatakan kedua pemain ini tenggelam dan beberapa kali melepaskan penguasaan bola kepada Gangwon FC untuk mencipta siri serangan balas pantas yang cukup berbahaya untuk diperkatakan.
Statistik permainan sendiri menyaksikan Gangwon FC menguasai 63% perlawanan dan mencipta 15 percubaan untuk memberi gambaran aksi berkenaan menjadi milik kelab Korea Selatan tersebut.
Selain itu, mobiliti setiap pemain Kuching City di atas padang juga tampak mengecewakan selain tidak banyak gerakan tanpa bola berjaya dibuat untuk memerangkap pasukan lawan serta memberi lebih variasi serangan dicipta.
Secara keseluruhan, hanya Ramadhan Saifullah dan Petrus Shitembi sahaja berfungsi pada aksi tersebut dengan kualiti individu mereka sedikit sebanyak berjaya memberi tekanan buat pertahanan lawan.
Kritikan penyokong buat Kuching City
Di media sosial, seperti dijangka para penyokong meluahkan rasa tidak puas hati kepada pasukan tersebut yang gagal merekodkan sebarang kemenangan sejak empat perlawanan lalu secara berturut-turut dalam semua kejohanan diharungi.
Ada yang menganggap Kuching City tidak belajar bagaimana Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bijak menyesuaikan diri di pentas tertinggi Asia daripada segi intensiti serta fokus di atas padang berbanding kelab kesayangan mereka.
Selain itu, pelbagai kesalahan mula dilontarkan mereka kepada pasukan itu dan mereka turut menuntut perubahan lebih besar mampu dibuat terutama sekali pada jendela perpindahan akan datang.
Ketika ini, Kuching City hanya merekodkan satu kemenangan sahaja sejak lima perlawanan terakhir diharungi mereka dalam pentas domestik serta Asia.
Berbekalkan baki perlawanan yang ada di saingan ACL 2 nanti, sudah tentu para penyokong mengharapkan sekurangnya mereka mampu mendapat sekurangnya satu kemenangan untuk kembali menghidupkan peluang dan memperbaiki maruah pasukan.







